Sidang Kemuncak ASEAN-India Penentu Hala Tuju Baharu Rundingan AITIGA

24/10/2025 11:05 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN-India yang akan diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijangka menjadi pemangkin utama dalam usaha memecahkan kebuntuan berhubung semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) yang tertangguh sekian lama.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penglibatan peringkat tertinggi dalam sidang kemuncak itu berpotensi menyuntik desakan politik dan akauntabiliti terhadap proses semakan tersebut.

“Apabila pemimpin menunjukkan komitmen secara terbuka, ia memberikan tekanan positif kepada pasukan perunding untuk menghasilkan keputusan,” katanya.

Innes berkata India dilihat agak kecewa dengan kemajuan perlahan semakan perjanjian itu, susulan ketidakseimbangan perdagangan dan halangan bukan tarif yang berterusan, manakala ASEAN pula berharap semakan itu dapat dimuktamadkan tahun ini.

“Jika sidang kemuncak ini berjaya menetapkan hala tuju yang jelas dan mentakrifkan semula rundingan sebagai usaha pemodenan semula dan bukan sekadar latihan teknikal, ia berupaya mengubah perbincangan yang tertangguh selama bertahun-tahun kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Innes berkata selain isu tarif, India mahu semakan itu mengambil kira realiti baharu dalam perdagangan digital, daya tahan rantaian bekalan dan kerjasama pembuatan.

AITIGA bertujuan mewujudkan aliran bebas barangan antara negara anggota ASEAN dan India, sekali gus mengurangkan halangan perdagangan, memperkukuh hubungan ekonomi, menurunkan kos perniagaan, meningkatkan perdagangan serta membantu perniagaan menjimatkan kos melalui pengeluaran berskala besar.

Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22 akan berlangsung pada 26 Okt ini, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan dihoskan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penganalisis ISIS Malaysia Dr Yanitha Meena Louis menjelaskan bahawa semakan AITIGA telah lama berada dalam perancangan dan kini memasuki fasa pelaksanaan yang lebih aktif.

“Terdapat keinginan kuat daripada kedua-dua pihak untuk menyelaraskan dasar dan kerjasama dengan lebih rapat, namun, ia memerlukan komitmen politik daripada kedua-dua pihak. 

“Prinsip timbal balik dan semangat muhibah yang mengatur hubungan ASEAN-India akan menjadi kunci untuk memecahkan kebuntuan semakan itu,” katanya.

Beliau berkata semakan AITIGA tidak seharusnya menjadi penentu utama kepada hubungan dua hala, sebaliknya perlu turut menumpukan kepada keupayaan ASEAN untuk bekerjasama dalam inisiatif yang diterajui India seperti International Solar Alliance, Coalition for Disaster Resilient Infrastructure dan Global Biofuel Alliance.

Pada Julai lepas, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B. N. Reddy, berkata semakan AITIGA yang bermula pada 2023 dan dijangka selesai hujung tahun ini akan mempertingkat perdagangan serta pelaburan serantau, khususnya dalam ekonomi digital.

Berhubung Perdana Menteri India Narendra Modi yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 secara maya, Innes berkata kehadiran beliau tetap membawa nilai strategik dan diplomatik yang besar.

“Kehadiran beliau menandakan kesinambungan Dasar Tindakan ke Timur (Act East Policy) India serta mengukuhkan komitmennya terhadap ASEAN sebagai tonggak kestabilan Indo-Pasifik.

“Meskipun hadir secara maya, ia masih memberi ruang kepada India untuk membentuk perbincangan mengenai perdagangan, kesalinghubungan dan keselamatan serantau, iaitu tiga tonggak utama yang menyokong aspirasinya untuk menjadi rakan ekonomi dan strategik utama Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Yanitha berpendapat penyertaan Modi secara maya itu akan menjadi platform bagi India memperkenalkan pelan kerjasama bersasar, setara dengan pelan 12 perkara yang diperkenalkan di Indonesia pada 2023 dan pelan 10 perkara di Laos pada 2024.

“Selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, India berpeluang memperkenalkan inisiatif yang seiring dengan usaha mobilisasi Global South serta prinsip utama Dasar Bertindak ke Timur yang kini memasuki dekad kedua,” katanya.

India menjadi rakan dialog ASEAN pada 1996, dengan perdagangan dua hala meningkat kepada US$106.83 bilion (US$1 = RM4.22) pada 2024 berbanding US$100.72 bilion pada 2023.

Namun, pelaburan langsung asing (FDI) India ke ASEAN menurun 34.97 peratus kepada US$3.31 bilion pada 2024 daripada US$5.09 bilion pada 2023.

-- BERNAMA