Grab Malaysia Tayang Video Rakan Grab Jelajah ASEAN Bersama KS Lagi

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Rashid Shukor (kanan) bersama Hos Podcast Keluar Sekejap Shahril Hamdan (kiri) bergambar bersama pemandu Grab yang mengikuti Program Jelajah Grab ASEAN pada sidang media tayangan Eksklusif Rakan Grab Jelajah ASEAN di GSC LaLaport hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
24/10/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sebagai sokongan kepada Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, Grab Malaysia bakal menayangkan tiga video pendek bertajuk “Rakan Grab Jelajah ASEAN” yang memaparkan pengalaman tiga pemandu dari Malaysia menjelajah ke tiga negara ASEAN.

Syarikat terkemuka negara itu bekerjasama dengan platform kandungan KS Lagi untuk menghasilkan siri video berkenaan yang memaparkan kisah komuniti serta penggunaan aplikasi Grab di negara ASEAN.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata siri video itu diilhamkan daripada keunikan rakan pemandu dan penghantar yang banyak menghabiskan masa di jalan raya serta mengenali selok-belok bandar di rantau ini.

“Rakan Grab adalah nadi yang menggerakkan ekonomi kami dan tulang belakang Grab. Setiap hari mereka berdepan kesesakan, panas dan hujan, bukan sekadar menghantar makanan atau bungkusan tetapi menyampaikan amanah pelanggan dengan penuh tanggungjawab.

“Siri video ini membawa kita merentasi Indonesia, Thailand dan Vietnam, bukan sebagai pelancong tetapi melalui pengalaman rakan Grab sendiri. Ia memaparkan realiti kehidupan serta pekerjaan mereka dengan semangat yang sama iaitu dorongan mencari rezeki demi keluarga dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada tayangan siri video berkenaan di sini baru-baru ini yang menampilkan Shahril Sufian Hamdan sebagai hos bersama tiga pemandu Grab tempatan yang berpeluang meneroka budaya setempat, cita rasa makanan serta cara aplikasi Grab dimanfaatkan di negara-negara jiran.

Tiga pemandu berkenaan ialah Muhamad Syukri Ghazali, 46, Muhamad Aiman Muhamad Shamsudin, 26, dan Christine Wee Seow Ling, 50, yang dipilih daripada ratusan penyertaan selepas mereka memenangi pertandingan video pendek yang berlangsung selama dua bulan bermula Ogos lepas.

Pertandingan itu memerlukan pemandu Grab berkongsi momen paling membanggakan sepanjang kerjaya mereka dan video paling menonjol dipilih sebagai pemenang untuk menyertai penggambaran siri berkenaan di Danang (Vietnam), Bali (Indonesia) dan Bangkok (Thailand).

Tayangan eksklusif episod pertama berdurasi kira-kira 15 minit itu bermula Selasa lepas, manakala dua episod seterusnya akan disiarkan dalam tempoh dua minggu berturut-turut di platform media sosial KS Lagi.

Sementara itu, Muhamad Syukri berkata penyertaannya dalam siri video berkenaan merupakan pengalaman yang tidak pernah dilupakan, apatah lagi impiannya untuk menjejakkan kaki ke Bali akhirnya tercapai selepas lebih dua dekad.

“Apabila menerima panggilan memaklumkan saya terpilih ke Bali, memang rasa macam mimpi jadi kenyataan. Sepanjang berada di sana, layanan pasukan Grab sangat profesional dan mesra, sampai terasa seperti keluarga sendiri.

“Memang satu pengalaman yang sangat istimewa dan mengujakan,” katanya yang mula menjadi pemandu Grab secara sambilan sejak Januari lepas.

-- BERNAMA