Malaysia Jadi Tumpuan, Pemimpin Dunia Termasuk Trump Berhimpun Di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

24/10/2025 12:51 PM

 

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia bakal menjadi tumpuan apabila menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung minggu ini, yang menyaksikan kehadiran ramai pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai

Setakat ini, hanya dua Presiden AS pernah melawat Malaysia – Lyndon B. Johnson pada 1996 dan Barack Obama yang mengunjungi negara ini dua kali, iaitu pada April 2014 dan November 2015.

Bagi Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sidang kemuncak bersejarah ini bukan sekadar satu acara, tetapi melangkaui peluang untuk sesi fotografi diplomatik.

Selain Trump, wakil tertinggi dari seluruh dunia termasuk China, Jepun, Rusia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Latin, Australia, New Zealand, dan Afrika Selatan turut hadir, menjadikannya satu daripada perhimpunan antarabangsa terbesar dan paling signifikan yang pernah dianjurkan Malaysia.

Sejumlah 2,854 petugas media daripada 290 agensi dari dalam dan luar negara telah mendaftar untuk membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak ini mewakili penyatuan diplomatik, kelebihan perdagangan dan penjenamaan global yang mampu membentuk hala tuju negara untuk tahun-tahun akan datang.

Terdapat pelbagai isu penting yang ingin dibincangkan oleh ASEAN dan pemimpin utama dunia. Daripada tarif perdagangan, kerjasama ekonomi serantau sehinggalah isu Palestin. Selain itu, pelbagai mesyuarat dua hala dan luar acara sedang disusun.

Menteri-menteri serta delegasi perniagaan Malaysia juga dijadualkan berinteraksi dengan rakan niaga, meneroka pelaburan, memperkukuh rantaian bekalan dan memeterai perjanjian perdagangan.

Tiada tempat yang lebih baik selain Kuala Lumpur untuk menjadi lokasi bagi membincangkan isu perdagangan dan hubungan luar secara bersemuka.

Kini, Malaysia berada di pentas global, dengan diplomasi negara dilihat terbuka, relevan dan berwibawa.

Walaupun tempoh sebagai Pengerusi ASEAN hanya setahun, Malaysia telah membuktikan kepada rantau ini dan dunia bahawa negara telah memainkan peranan kepimpinan yang berkesan dan bermakna.

Pendedahan seperti ini membawa pelbagai manfaat – pelaburan langsung asing, hubungan diplomatik yang baik serta perhatian media global.

Anwar dijangka bertemu Trump dengan satu agenda utama – bagaimana AS dapat membantu atau menangani isu berkaitan tarif dan ekonomi, terutamanya dalam mengekalkan sifar tarif untuk komponen elektrik dan elektronik.

Walaupun hubungan ekonomi dan politik penting, inilah peluang untuk menonjolkan nilai-nilai Malaysia dan inisiatif Selatan Global yang perlu dihormati.

Malaysia mengekalkan suara bebas dan mempertahankan prinsip keadilan, keterangkuman dan sistem berasaskan peraturan pelbagai hala, termasuk kebimbangan terhadap situasi serius di Gaza, sambil terus berinteraksi dengan AS sebagai rakan dagang penting negara.

Namun, penghargaan harus diberikan kepada Anwar atas jalinan hubungan globalnya yang luas dengan pemimpin dunia. Hubungan peribadi beliau dengan personaliti berpengaruh ini menerusi “diplomasi telefon” terbukti berkesan dan belum pernah berlaku dalam pengendalian hubungan luar negara. 

Malaysia mungkin sekadar sebuah negara berpendapatan sederhana yang kecil, bagaimanapun Anwar telah meletakkan Malaysia sebagai “jambatan” aktif yang menghubungkan kuasa besar, blok baharu dan dinamik serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri menekankan kepusatan badan serantau ini, kesepaduan serantau dan peranan Malaysia dalam membentuk seni bina Asia Tenggara.

Langkah ini memperlihatkan Anwar memperkukuh kedudukan politik peribadi beliau dan juga kedudukan negara. Keupayaan Malaysia menjadi hos sidang kemuncak dengan kehadiran ramai pemimpin dunia menunjukkan negara kekal relevan dan berautonomi, serta kebolehan untuk bersidang, menjadi pengantara, dan berperanan sebagai hab kerjasama serantau.

Dengan membawa dunia ke Malaysia dan mengetengahkan keutamaan dan nilai Malaysia seperti pembasmian kemiskinan, keterangkuman, dan ekonomi digital, Anwar turut mengukuhkan kredibilitinya di dalam negara, menurut satu laporan.

“Penganjuran yang lancar – logistik, keselamatan, dan layanan mesra – akan meningkatkan persepsi rakyat terhadap kecekapan Malaysia.

“Jika sidang kemuncak ini dilihat berjaya, ia akan diterjemahkan kepada modal politik – Malaysia dilihat matang, stabil dan berpandangan jauh di bawah kepimpinan Anwar,” menurut laporan itu.

Namun, inti pati dan hasil mesti dilihat melangkaui kehebatan penganjuran acara berkenaan. Perlu ada pulangan pelaburan. Tumpuan perlu diterjemahkan kepada pulangan diplomatik dan ekonomi yang ketara.

Malaysia pastinya berharap sidang kemuncak ini akan menjadi titik perubahan strategik buat negara.

Inilah peluang untuk menunjukkan perkara yang diperjuangkan dan mampu dilakukan oleh Malaysia, sambil berdiri megah di mata dunia. Penganjuran ini sememangnya permulaan yang hebat untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 ketika dunia memandang Malaysia.

 

Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Tokoh Wartawan Negara dan Pengerusi Bernama.

-- BERNAMA