Dua Pencapaian Bersejarah Jadi Tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 - Amran

24/10/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mencerminkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin. 

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi dua pencapaian bersejarah yang akan menjadi tumpuan pada sidang kemuncak berkenaan iaitu penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 dan sambutan ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Amran yang mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) hari ini berkata kedua-dua peristiwa itu melambangkan komitmen teguh ASEAN terhadap prinsip keterangkuman dan kemampanan, yang menjadi tunjang kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin

“Penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 menggambarkan keterangkuman, dengan memperluas keluarga ASEAN kita untuk menerima sebuah negara yang aspirasinya seiring dengan nilai-nilai kebersamaan kita iaitu keamanan dan kerjasama.

“Selain itu, sambutan ulang tahun EAS ke-20 menandakan dua dekad dialog dan kerjasama strategik yang memperkukuh kestabilan serantau serta menegaskan peranan penting ASEAN dalam membentuk sebuah tatanan serantau yang aman dan makmur,” katanya dalam ucapan alu-aluan mesyuarat berkenaan yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC di sini hari ini.

Amran berkata pencapaian terbabit juga menunjukkan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya untuk terus berkembang, di samping kekal berpegang pada prinsip asas penubuhannya seperti perpaduan, permuafakatan dan saling menghormati.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa SOM akan menghasilkan cadangan yang penting untuk dipertimbangkan pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak terbabit, sekali gus mengukuhkan visi bersama rantau ini untuk masa hadapan lebih inklusif dan mampan.

“Ketika kita (Malaysia) bersedia untuk menyerahkan tampuk kepengerusian, kita melakukannya dengan rasa bangga terhadap pencapaian bersama serta penuh keyakinan terhadap asas kukuh yang telah kita bina bersama,” katanya.

Mesyuarat tertutup berkenaan dihadiri wakil SOM daripada negara anggota ASEAN termasuk Johariah Wahab (Brunei), Kung Phoak (Kemboja), Sidharto Reza Suryodipuro (Indonesia), Phongsavanh Sisoulath (Laos), Han Win Aung (Myanmar), Hellen B. De La Vega (Filipina), Albert Chua (Singapura), Eksiri Pintaruchi (Thailand) serta Dang Hoang Giang (Vietnam).

Turut hadir wakil SOM Timor-Leste, Milena Maria da Costa Rangel dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) Datuk Astanah Abdul Aziz.

Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad hingga Selasa ini, yang akan menhimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan.

-- BERNAMA