Perdana Menteri Timor-Leste Tiba Untuk Menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

24/10/2025 03:02 PM

SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão tiba di Malaysia pada 12.30 tengah hari tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disambut oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Gusmão kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.

Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Okt di Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Brazil.

Acara berkenaan juga akan menyaksikan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada 26 Okt.

Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.

Acara ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak 1967, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA