Kepengerusian ASEAN 2025 Oleh Malaysia Pacu Kemajuan Perdagangan - Suphajee Suthumpun

-- fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
25/10/2025 09:21 AM

Oleh Karina Imran & Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Menteri Perdagangan baharu Thailand, Suphajee Suthumpun, memuji kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, khususnya Putrajaya, kerana memimpin perkumpulan itu dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Beliau berkata perdagangan ASEAN telah diperkukuh menerusi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun blok Asia Tenggara yang mencecah 58 tahun itu berdepan cabaran geopolitik yang besar.

Paling penting adalah pengenaan tarif yang membebankan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap 10 negara anggota ASEAN.

“Melalui kepimpinan Malaysia, ASEAN telah mengambil langkah untuk memperkukuh penyelarasan dasar strategik bagi menangani isu ketidaktentuan geopolitik dan cabaran global yang muncul.

“Ini termasuk mendorong daya tahan ekonomi, menambah baik jaringan keselamatan kewangan serantau serta merangka dasar yang memastikan ASEAN kekal stabil, berdaya saing dan boleh menyesuai dalam dunia yang semakin pesat berubah,” katanya kepada Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN bagi 2025 daripada Laos yang menerajui blok itu pada tahun lepas, manakala kepengerusian seterusnya akan diterajui Filipina.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Suphajee berkata Bangkok menjangkakan mesyuarat itu akan menjadi platform penting bagi ASEAN untuk menegaskan semula perpaduan dan visi ekonominya ketika ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi yang semakin memuncak.

“Sidang kemuncak ini sewajarnya memberi mesej yang jelas dan berkesan bahawa ASEAN kekal berdaya tahan, padu dan berpandangan jauh, bersedia untuk menghadapi cabaran luaran di samping memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan memperluas kerjasama dengan rakan dialog,” katanya.

Beliau berkata sidang kemuncak itu akan membuktikan kemajuan ASEAN melalui pencapaian besar dengan selesainya Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bagi 2025.

Perkara yang menjadi hasil utama antaranya pemeteraian Protokol Kedua bagi Pindaan terhadap Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China yang dipertingkatkan (ACFTA 3.0).

“Semua pencapaian ini akan memperkukuh rantaian bekalan serantau dan melonjakkan perdagangan antara negara anggota ASEAN, yang dijangka berkembang melebihi kadar semasa 21.4 peratus daripada jumlah perdagangan menjelang 2030,” katanya.

Berkaitan ATIGA, Suphajee berkata rundingan telah berjaya dimuktamadkan pada Mei lepas, dan pemeteraian Protokol Kedua bagi Pindaan ATIGA yang akan diadakan pada sidang kemuncak kali ini,  menunjukkan penambahbaikan paling komprehensif sejak perjanjian itu mula berkuat kuasa pada 2010.

Selain itu, beliau berkata pemuktamadan substantif bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) serta inisiatif baharu seperti Rangkaian Keselamatan AI ASEAN dan Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS), juga penting untuk pembangunan blok serantau.

“Saya amat yakin dengan kemajuan berterusan menerusi kepengerusian Thailand bagi Jawatankuasa Rundingan DEFA. Kita berada di landasan untuk mencapai pemuktamadan substantif dalam tahun ini, sekali gus mengorak laluan untuk pemeteraian perjanjian itu tahun depan.

“DEFA akan menjadi pencapaian penting bagi ASEAN, mewujudkan kerangka ekonomi digital berasaskan peraturan yang menggalakkan keterbukaan, kepercayaan dan keterangkuman di seluruh blok ini,” katanya.

Selain itu, penerimagunaan Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG) dan penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Peralihan Hijau turut menekankan keazaman ASEAN untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan, katanya.

-- BERNAMA