Sidang Kemuncak ASEAN: ‘Hospital Mini’ KKM Pastikan Aspek Kesihatan Pada Tahap Terbaik
Oleh Mohd Adli Shahar
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) komited memastikan aspek kesihatan berada pada tahap terbaik sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menerusi penugasan 512 petugas kementerian itu.
Pengarah Kesihatan Negeri bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya Datin Dr Haliza Abdul Manaf berkata kemudahan kesihatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merangkumi ‘hospital mini’ untuk semua petugas sidang kemuncak, delegasi dan orang kenamaan dan mampu menangani pelbagai situasi termasuk kecemasan.
"Terletak di dalam bangunan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ia dilengkapi lapan katil, peralatan perubatan moden termasuk kemudahan pemantauan pesakit, rawatan resusitasi, defibrilator dan ubat-ubatan. kecemasan.
"Di pusat rawatan ini, kami mampu memberikan rawatan kes primer, rawatan kecemasan, serta penstabilan kes kritikal secara serta-merta sebelum dirujuk ke hospital sekiranya perlu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dr Haliza berkata penugasan petugas perubatan membabitkan pakar perubatan kecemasan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih dan pemandu ambulans.
“Selain pusat rawatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ia turut dibuka di hotel-hotel penginapan delegasi bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan,” katanya.
KKM turut menempatkan pasukan perubatan bergerak yang akan mengiringi setiap ketua negara sepanjang pergerakan rasmi mereka bagi memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku kecemasan.
"Setiap pasukan ini terdiri daripada lima petugas dan dilengkapi dengan peralatan perubatan mudah alih yang canggih," katanya.
Selain petugas perubatan, penugasan kali ini turut melibatkan pasukan kesihatan awam merangkumi pakar perubatan kesihatan awam, pegawai epidemiologi, pegawai teknologi makanan dan pegawai serta penolong pegawai kesihatan persekitaran.
Dalam aspek kesihatan awam pula, Dr Haliza berkata KKM telah mempertingkat kawalan vektor dengan melakukan pemeriksaan di semua hotel penginapan dua minggu sebelum persidangan bagi memastikan ia bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.
"Kita juga melihat dapur yang menyediakan makanan supaya ia bebas daripada sebarang risiko keracunan makanan. Bagi hotel-hotel kediaman tetamu kenamaan, kita memang ambil sampel makanan setiap hari, bermula daripada sarapan sampailah makan malam terakhir untuk dianalisis," katanya.
Beliau berkata dalam mempertingkatkan aspek kesihatan awam, semua kawasan sidang kemuncak telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.
-- BERNAMA
