PM Thailand Anutin Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Dengan Kemboja Di KL

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul (Kredit: Kerajaan Diraja Thailand)
25/10/2025 09:41 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 25 Okt (Bernama) – Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan menghadiri majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada Ahad, menurut jurucakap kerajaan Siripong Angkasakulkiat.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Anutin juga akan menghadiri majlis menandatangani deklarasi bersama mengenai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Majlis menandatangani deklarasi itu akan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Pada majlis berkenaan, Anutin akan menyampaikan ucapan tahniah kepada Timor-Leste serta menegaskan semula komitmen Thailand - bersama negara anggota ASEAN lain - untuk mengekalkan perpaduan, keselamatan dan kerjasama menyeluruh ke arah keamanan berkekalan serta pembangunan mampan di rantau ini,” katanya.

Delegasi Anutin, yang turut disertai Menteri Pertahanan Jeneral Nattapon Nakpanich, dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.30 malam (waktu Malaysia) Sabtu.

Siripong berkata Anutin juga akan menghadiri Majlis Penganugerahan Hadiah ASEAN serta majlis menandatangani kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN.

Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Trump bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pembangunan mampan di rantau ini.

Menurut Siripong, satu sidang media akan diadakan selepas majlis menandatangani itu sebelum Anutin berlepas pulang ke Thailand pada hari sama.

Terdahulu, Anutin memberitahu media di Bangkok bahawa beliau telah memohon agar majlis menandatangani itu diadakan pada waktu pagi supaya beliau sempat menghadiri majlis berkenaan  dan kembali ke Thailand untuk menghadiri istiadat persemadian diraja Bonda Ratu.

Lawatan rasmi Anutin ke Malaysia yang asalnya dijadualkan pada pagi Sabtu terpaksa ditangguhkan susulan tempoh berkabung negara selepas kemangkatan Bonda Ratu, Ratu Sirikit.

Deklarasi bersama antara Thailand dan Kemboja itu dijangka ditandatangani pada pukul 2.30 petang (waktu Malaysia) Ahad, disaksikan oleh Anwar dan Trump.

Anutin, yang memegang jawatan pada 7 Sept lepas, pada asalnya dijadual tiba di Kuala Lumpur pada pagi Sabtu dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

Trump dijadual tiba di Malaysia pada Ahad, menandakan lawatan pertamanya ke Asia sejak memulakan penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari 2025.

Terdahulu, Biro Istana Diraja Thailand mengumumkan bahawa Ratu Sirikit, 93, mangkat pada petang Jumaat.

Raja Maha Vajiralongkorn telah menitahkan agar Biro Istana Diraja menguruskan istiadat persemadian  diraja dengan penghormatan tertinggi mengikut tradisi diraja.

Perarakan membawa jasad Ratu Sirikit ke Dewan Takhta  Dusit Maha Prasat di dalam Grand Palace dijangka berlangsung pada pukul 4 petang (waktu Thailand) Ahad ini.

-- BERNAMA