Sidang Kemuncak ASEAN: Keanggotaan rasmi Timor-Leste, Lawatan Trump tumpuan Hari Pertama

26/10/2025 08:19 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Keanggotaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dan lawatan julung kali Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia dijangka melakar detik bersejarah tersendiri selain menjadi tumpuan hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Selepas beberapa hari berlangsungnya mesyuarat pegawai kanan dan peringkat menteri, sidang kemuncak yang bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan bermula dengan majlis pembukaan pada 8.30 pagi.

Majlis pembukaan itu akan dihadiri oleh semua ketua negara anggota ASEAN, bersama Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao, selain Tetamu Pengerusi ASEAN dan kenamaan lain.

Pada majlis itu turut akan berlangsung acara menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, menandakan rasminya negara ini sebagai anggota ke-11 badan serantau berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan merangkumi sesi pleno dan permukiman, dengan sesi pleno menumpukan kepada pembinaan Komuniti ASEAN, integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi dan hubungan luar.

Sesi permukiman pula menumpukan kepada meneliti pelaksanaan Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar dan meneroka pendekatan bagi menangani krisis politik serta kemanusiaan yang berterusan, selain isu serantau dan global lain yang menjadi kepentingan bersama.

Pada masa sama, kunjungan berkenaan menandakan lawatan julung kali Trump ke Asia sejak memulakan penggal keduanya sebagai presiden, dan juga kunjungan pertama presiden AS ke Malaysia sejak Barack Obama pada sedekad yang lepas.

Trump dan Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan jamuan bersama pemimpin ASEAN.

Selain itu, acara penting yang berlangsung hari ini ialah pemeteraian perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand berhubung pertikaian sempadan yang telah berlarutan selama beberapa dekad, dijadual disaksikan oleh Anwar dan Trump.

Selain beberapa mesyuarat dua hala, atur cara hari ini turut merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22, dan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ketiga.

Dalam aspek ekonomi, turut diadakan majlis penyerahan Protokol Kedua untuk Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) serta jamuan Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok hingga 28 Okt di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 “Keterangkuman dan Kemampanan” dijangka menjadi antara pertemuan terbesar dalam sejarah badan serantau berkenaan.

-- BERNAMA