Satu Pencapaian Bersejarah, Malaysia Dan AS Naik Taraf Hubungan Dua Hala Ke Arah Perkongsian Strategik Komprehensif - Wisma Putra
Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Satu pencapaian bersejarah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perjanjian untuk menaik taraf hubungan dua hala ke arah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama strategik dan pelbagai dimensi yang semakin berkembang antara Putrajaya dan Washington.
“Kerjasama yang dipertingkatkan ini merupakan kemajuan baharu dalam hubungan antara kedua-dua negara, dibina berteraskan asas hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957 dan dimuktamadkan sebagai Perkongsian Komprehensif pada 2014.
“CSP menjadi bukti kepada kerjasama kukuh yang berterusan dalam pelbagai bidang strategik, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, teknologi maju, pertahanan dan keselamatan, keselamatan tenaga, keamanan dan kestabilan serantau serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” menurut Wisma Putra selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.
CSP akan terus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan kongsi penting dan dipercayai di rantau Asia Pasifik.
Amerika Syarikat antara rakan dagang terbesar Malaysia dan pelabur terbesar secara keseluruhan. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM324.91 bilion (US$71.39 bilion) pada 2024.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan sulung semasa lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 ini, sebagai satu detik bersejarah.
Lawatan rasmi Trump ke Malaysia adalah bersempena sidang kemuncak tersebut. Malaysia merupakan destinasi pertama Trump dalam lawatan ke tiga negara di Asia, turut merangkumi Korea Selatan dan Jepun.
-- BERNAMA
