Takaichi, Trump Setuju Perkukuh Pakatan Jepun-AS Dalam Perbincangan Pertama
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata beliau dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju memperkukuh pakatan dua hala dalam perbincangan telefon pertama mereka pada Sabtu.
Menurut Kyodo News, perbincangan itu diadakan ketika kedua-dua pemimpin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
Takaichi memberitahu wartawan bahawa dalam perbualan itu, beliau menekankan kepentingan strategik Jepun dalam pendekatan Amerika Syarikat terhadap China dan rantau Indo-Pasifik.
Beliau turut meminta kerjasama Trump dalam menangani isu penculikan rakyat Jepun oleh Korea Utara pada masa lalu serta memajukan usaha ke arah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
Takaichi berkata Trump turut mengucapkan tahniah kepadanya atas pelantikan sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun dan beliau menantikan pertemuan mereka di Tokyo sempena lawatan Trump ke Jepun pada Isnin.
Takaichi, yang baru memegang jawatan itu awal minggu ini, membuat penampilan diplomatik pertamanya pada mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA-KYODO
