Anutin Seru Perkukuh Kerjasama ASEAN Campur Tiga Berasaskan Keselamatan 3 Dimensi

27/10/2025 05:04 PM

BANGKOK, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mencadangkan tiga teras utama - keselamatan kewangan, keselamatan digital dan keselamatan insan - bagi memacu kerjasama ASEAN Campur Tiga serta memperkukuh hubungan ASEAN dengan rakan Asia Timur iaitu China, Korea Selatan dan Jepun.

Jurucakap Kerajaan Thailand Siripong Angkasakulkiat berkata Anutin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28 di Malaysia pada Isnin, bersama pemimpin dan wakil negara anggota ASEAN serta tiga rakan dialog berkenaan - China, Jepun dan Korea Selatan.

Menurut Siripong, Perdana Menteri menegaskan dunia kini semakin kompleks dan rapuh, justeru ASEAN dan negara Campur Tiga perlu memperkukuh serta memodenkan kerjasama mereka bagi menghadapi cabaran baharu secara menyeluruh dan berkesan.

“Perdana Menteri mencadangkan konsep ‘Pendekatan Keselamatan Tiga Dimensi’ sebagai rangka kerja untuk memajukan kerjasama ASEAN Campur Tiga pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri turut mencadangkan penggunaan lebih meluas pusat-pusat ASEAN yang beroperasi di Thailand, seperti Pusat ASEAN bagi Pengusiaan Aktif dan Inovasi (ACAI) serta Pusat ASEAN bagi Kajian dan Dialog Pembangunan Mampan (ACSDSD).

“Pusat-pusat ini boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, mempromosikan pembangunan mampan, pembiayaan hijau serta peralihan kepada tenaga bersih,” katanya.

Siripong berkata Anutin turut menyatakan penghargaan kepada rakan Campur Tiga atas peranan proaktif dan konstruktif mereka dalam menyokong ASEAN, di samping mengulangi komitmen Thailand untuk terus menggalakkan kerjasama membina dalam kalangan negara Campur Tiga bagi memperkukuh rantau Asia Timur dengan sebenarnya.

“Sepanjang penglibatannya, Perdana Menteri akan mewakili Thailand sebagai pemimpin yang komited memperkukuh kerjasama di peringkat ASEAN dan global.

“Beliau akan menggunakan platform ini untuk menegaskan peranan Thailand sebagai rakan bagi kelestarian serantau, sambil mempromosikan inisiatif berkaitan pembangunan teknologi digital, tenaga bersih serta usaha mewujudkan rantau yang selamat dan aman demi manfaat bersama ASEAN dan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Siripong berkata pada Isnin petang, Anutin dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima, yang mana beliau akan mencadangkan supaya manfaat perjanjian perdagangan bebas itu dimaksimumkan bagi menghasilkan impak nyata kepada perniagaan dan rakyat.

“Selepas itu, Anutin dijangka mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Bank Dunia sebelum menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20, dengan Thailand akan menggalakkan keamanan, kestabilan serta keseimbangan struktur geopolitik di rantau Asia Pasifik. Beliau kemudiannya akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura,” katanya.

Beliau berkata pada sebelah petang, Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-15 untuk membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ASEAN–PBB, khususnya dalam bidang pembangunan mampan.

Siripong berkata Anutin akan turut mengadakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon sebelum menghadiri majlis makan malam bagi meraikan para pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA