Kanada, ASEAN Percepat Rundingan FTA, Sasar Muktamad Tahun Depan

27/10/2025 10:57 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kanada menuju fasa baharu kerjasama perdagangan, ekonomi dan keselamatan dengan negara anggota ASEAN, termasuk mempercepat usaha untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Kanada-ASEAN menjelang tahun depan.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney berkata kerjasama dengan ASEAN itu mencerminkan strategi negaranya untuk mempelbagaikan kerjasama perdagangan global serta memperkukuh penglibatan di Indo-Pasifik, satu daripada rantau di dunia yang berkembang pesat.

“Minggu ini di Kuala Lumpur kami bersetuju untuk mempercepat kemajuan FTA Kanada-ASEAN dengan sasaran untuk dimuktamadkan pada 2026.

“Semalam saya bertemu dengan Perdana Menteri Laos (Sonexay Siphandone) dan Vietnam (Pham Minh Chinh) serta Presiden Filipina (Ferdinand Marcos Jr) bagi meneruskan rundingan tersebut,” katanya pada sidang media bersama media terpilih di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata penglibatan Kanada dengan blok serantau 11 anggota itu adalah sebahagian daripada strategi yang lebih menyeluruh, merangkumi kerjasama dalam bidang tenaga, teknologi dan keselamatan bagi memastikan kestabilan serantau dan pertumbuhan mampan.

Dalam perkembangan lain, Carney berkata syarikat minyak dan gas milik Malaysia, Petronas yang menjadi rakan kongsi penting projek kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Kanada di Kitimat, British Columbia, dijangka menggandakan pengeluaran.

“Fasa kedua projek ini akan menggandakan pengeluaran, menjadikan keseluruhan projek sebagai fasiliti LNG kedua terbesar di dunia, sekali gus mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan baharu dengan gaji tinggi di Kanada,” katanya.

-- BERNAMA