Lawatan Trump Lonjakkan Hubungan AS-Malaysia - Duta AS

28/10/2025 12:44 AM

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan, memuji Malaysia di atas sambutan dan kemesraan rakyatnya terhadap Presiden AS, Donald Trump, dan berkata lawatan itu membuka bab baharu dalam hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Yang paling penting ialah kita kini meningkatkan tahap hubungan ke peringkat seterusnya. Saya fikir kita melihat hubungan AS-Malaysia bersatu dalam beberapa bidang yang benar-benar utama,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat itu berada di Kuala Lumpur untuk memuktamadkan rundingan perdagangan dan menyaksikan pemeteraian perjanjian damai Kemboja-Thailand bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. 

Bercakap pada satu sidang media di sini hari ini, Kagan berkata Trump tertarik dengan Malaysia.

“Satu perkara yang Presiden nyatakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum beliau berlepas hari ini ialah beliau sangat gembira kerana seluruh dunia mendapat peluang melihat betapa hebatnya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Presiden Trump tertarik dengan apa yang disaksikannya semasa lawatan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN.

Kagan berkata lawatan itu menunjukkan Malaysia bukan sahaja sebuah destinasi hebat untuk dikunjungi  tetapi juga rakan kongsi yang kuat kepada Amerika Syarikat.

“Saya fikir ia menunjukkan … bahawa biarpun selama beberapa tahun kita tidak sehaluan, masih ada   tarikan kuat antara Amerika Syarikat dan Malaysia,” katanya.

Kagan juga berkata Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia memberi manfaat kepada kedua-dua negara. 

Semasa lawatan itu, Presiden Trump dan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai KL oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet yang menoktahkan keganasan dalam konflik antara kedua-dua negara jiran itu.

Konflik sempadan antara kedua-dua negara merebak kepada pertempuran ketenteraan pada 24 Julai lepas sebelum Malaysia mengantara satu gencatan senjata empat hari kemudian.

Kagan memuji keberanian dan tekad kedua-dua pemimpin itu untuk melakukan apa yang betul “untuk rakyat mereka, untuk ekonomi mereka, dan untuk rantau ini”. 

Trump berlepas dari Malaysia pada Isnin dan singgah di Jepun, sebelum meneruskan lawatan ke Korea Selatan dalam jelajah diplomatiknya selama seminggu.  

-- BERNAMA