Perjanjian Damai KL: Thailand Dan Kemboja Wajar Diberi Pengiktirafan Sepenuhnya - ISIS Malaysia
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Thailand dan Kemboja wajar diberikan pengiktirafan sepenuhnya atas kejayaan pemeteraian Perjanjian Damai KL kerana detik bersejarah itu tidak mungkin berlaku tanpa kesungguhan politik kedua-dua negara bagi menyelesaikan konflik sempadan yang berlarutan sekian lama.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah berkata walaupun ada pihak lain yang memainkan peranan penting dalam memudah cara perjanjian itu, komitmen Thailand dan Kemboja adalah faktor penentu.
"Jika mereka sendiri tidak bersedia untuk menyelesaikan perkara itu, apa jua usaha luar tidak akan membawa hasil.
“Oleh itu, pengiktirafan sewajarnya harus diberikan kepada pemimpin Kemboja dan Thailand yang telah menunjukkan kesungguhan untuk menamatkan konflik tersebut," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeteraian Perjanjian Damai KL menjadi simbol kukuh kepada kesatuan dan kepusatan ASEAN sekali gus membuktikan bahawa diplomasi dan kerjasama kekal sebagai kaedah terbaik untuk menyelesaikan pertikaian secara aman.
"Ini adalah contoh klasik yang menunjukkan bahawa dengan iltizam sebenar dan usaha bersama, walau serumit manapun pertikaian itu, ia masih boleh diselesaikan," katanya.
Mohd Faiz berkata penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), yang memudah cara penugasan angkatan bersenjata negara anggota blok serantau itu untuk memantau kawasan konflik, tanggungjawab segera yang kini terletak pada pasukan tentera Kemboja dan Myanmar.
"Langkah pertama ialah membebaskan sempadan daripada senjata serta pasukan tentera di kawasan berisiko tinggi, dan proses itu sudah bermula,” katanya.
Beliau berkata sebaik sahaja keadaan di kawasan sempadan kembali stabil, tumpuan harus beralih kepada usaha penempatan semula jangka panjang yang akan diterajui oleh badan bukan kerajaan (NGO).
“Mujurlah kemusnahan di kawasan terbabit tidak begitu teruk… bukan seperti di Gaza yang memerlukan pembinaan semula secara besar-besaran, situasi di sini masih terkawal,” katanya.
Thailand dan Kemboja sudah lama bertelagah mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terkini pada 24 Julai lepas mencetuskan konfrontasi ketenteraan.
Pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan pertikaian di sepanjang sempadan kedua-dua negara melalui pelaksanaan gencatan senjata.
Gencatan senjata itu, yang dianggap sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada bertambah buruk dan memastikan keselamatan ribuan orang awam.
Mohd Faiz turut memuji konsep “kesalingbergantungan berdaulat” yang diketengahkan oleh Perdana Menteri sebagai satu prinsip yang luar biasa bagi memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.
“Konsep ini kepentingan setiap negara tanpa mengira saiz untuk berasa selamat dengan keyakinan bahwa ia tidak akan dikuasai oleh negara lain yang mempunyai kekuatan ekonomi atau ketenteraan lebih besar,” katanya.
Mohd Faiz turut merumuskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah mencapai kejayaan cemerlang dengan penganjuran yang tersusun serta hasil yang nyata dan bermakna.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt 2025.
-- BERNAMA
