Kemboja Mulakan Penarikan Balik Senjata Di Bawah Perjanjian Damai KL

27/10/2025 05:45 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 27 Okt (Bernama) -- Kemboja memulakan pemindahan senjata tenteranya di sepanjang sempadan pertikaian dengan Thailand selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Perjanjian Damai KL) pada Ahad.

Agensi berita negara, Agence Kampuchea Presse melaporkan bahawa operasi itu dijalankan dengan pemerhatian Pasukan Pemerhati ASEAN dan Kementerian Pertahanan sejak malam Ahad.

Fasa pertama penarikan balik kelengkapan ketenteraan telah sampai ke Daerah Banteay Srei di Wilayah Siem Reap.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menandatangani perjanjian damai itu yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang sedang diadakan di Kuala Lumpur.

“Pemindahan senjata ini merupakan langkah pertama sebagai simbol komitmen untuk melaksanakan Perjanjian Damai KL,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Leftenan Jeneral Mali Socheata seperti dilaporkan media kerajaan pada Isnin.

Penandatanganan Perjanjian Damai KL bertujuan merasmikan perjanjian gencatan senjata terdahulu yang dicapai lebih awal selepas Kemboja dan Thailand bersetuju menamatkan konflik sempadan mereka semasa Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Kuala Lumpur pada 7 Ogos.

Mesyuarat itu diadakan susulan Mesyuarat Khas pada 28 Julai di Putrajaya yang berjaya menghentikan pertempuran bersenjata selama lima hari di bahagian utara Kemboja.

Kemboja dan Thailand telah berselisih selama beberapa dekad berhubung sempadan tidak bertanda sepanjang 817 kilometer, dan pertikaian itu mencetuskan konflik bersenjata pada 24 Julai lalu.

Kira-kira 300,000 orang telah dipindahkan di kedua-dua belah sempadan sejak ketegangan bermula.

-- BERNAMA