Timor-Leste Berhasrat Perluas Kerjasama Media, Inisiatif Latihan Dengan Bernama

27/10/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Timor-Leste berhasrat memperluas kerjasama media dan inisiatif latihan profesional bersama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi agensi berita rasminya, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI).

Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste Expedito Loro Dias Ximenes berkata cadangan kerjasama itu akan membolehkan wartawan TATOLI menimba ilmu serta pengalaman di bilik berita daripada Bernama, dan memperkukuh hubungan media antara kedua-dua negara.

“Saya berharap pada masa hadapan, wartawan TATOLI dapat kembali ke Bernama untuk menimba ilmu dan pengalaman.

“Suatu hari nanti, Bernama juga mungkin berkunjung ke Timor-Leste untuk berkongsi kepakaran dengan wartawan kami, khususnya dari TATOLI iaitu agensi berita rasmi kami,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Media Antarabangsa (IMC) di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Ximenes turut merakamkan penghargaan kepada Bernama atas kerjasama erat dan sokongan yang diberikan kepada kepada wartawan Timor-Leste yang hadir membuat liputan semasa sidang kemuncak itu.

“Saya berterima kasih dan bahagia (gembira) kerana dapat berkunjung ke Bernama (IMC) yang bagi saya sangat megah dan berprestij.

“Bernama telah membantu kami khususnya wartawan Timor-Leste yang datang ke Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pengalaman Bernama dalam liputan antarabangsa menjadi contoh penting bagi TATOLI dalam memperkukuh mutu pelaporan dan penyebaran maklumat di Timor-Leste.

Ketika lawatan itu, Ximenes diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj.

TATOLI, yang ditubuhkan pada 2016, berperanan menyebarkan maklumat rasmi kerajaan dalam bahasa Tetum, Portugis dan Inggeris.

-- BERNAMA