ASEAN Terajui Masa Depan Dunia Dengan Ekonomi Dinamik - Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyampaikan ucapan penutup di Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di ASEAN diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/10/2025 06:33 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- ASEAN tidak lagi menunggu dunia berubah, sebaliknya kini giat mencorakkan masa depan dengan ekonomi dinamik dan tenaga digital tanpa had untuk 680 juta penduduknya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) adalah satu contoh langkah itu kerana berperanan sebagai pengubah keadaan untuk integrasi serantau dan kedaulatan digital.

“ASEAN perlu menjadi pencipta bersama, mereka bentuk, melaksanakan dan memiliki teknologi. Teknologi ini akan membentuk masa depan kita," katanya dalam ucapan penutupnya di Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di ASEAN.

Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan digital adalah mustahil tanpa infrastruktur digital.

“Pusat data, ketersambungan dan identiti digital bukan sekadar pemboleh teknikal, ia adalah instrumen kedaulatan, amanah dan daya saing jangka panjang,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia sedang berusaha menjadi hab serantau untuk kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital.

Menyentuh mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Tengku Zafrul berkata perbincangannya telah berkembang daripada pematuhan kepada impak dan daripada pematuhan kepada peluang.

Beliau berkata perjalanan Malaysia melalui Strategi Pelaburan Hijau, Pelan Induk Perindustrian, Rangka Kerja i-ESG dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, mencerminkan komitmen negara untuk membina ekonomi yang lebih hijau dan bijak. 

Sehubungan itu, beliau menggesa sektor swasta untuk bergerak melangkaui ikrar sifar bersih ke arah hasil positif bersih.

-- BERNAMA