Thailand Akan Bertindak Balas Selepas Kemboja Tarik Balik Senjata Berat - Anutin

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul
27/10/2025 07:20 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 27 Okt (Bernama) -- Thailand akan bertindak balas sebaik sahaja Kemboja memulakan penarikan balik senjata berat dari kawasan sempadan, kata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul pada Isnin.

“Mereka telah memulakan proses ini malam tadi, dan sebaik mereka bertindak, kami juga akan bertindak balas kerana kami turut mempunyai senjata berat yang dikerahkan di kawasan tersebut,” kata Anutin dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Anutin dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur  (Perjanjian Damai KL) yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Anutin menjelaskan bahawa Perjanjian Damai KL yang ditandatangani di hadapan Presiden Trump dan Perdana Menteri Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN, berfungsi sebagai kerangka kerja yang menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara.

“Walaupun perjanjian itu tidak secara khusus mewajibkan kami untuk menarik balik, kami menunjukkan semangat baik dengan mengikuti langkah tersebut bagi membuka ruang dialog dan memupuk persefahaman bersama,” katanya.

Beliau menambah bahawa perbincangan antara angkatan tentera kedua-dua negara akan diteruskan melalui saluran dua hala sehingga kedua-dua pihak berpuas hati dengan proses pelucutan senjata, dengan atase pertahanan ASEAN bertindak sebagai pemerhati neutral untuk mengesahkan pematuhan.

Anutin berkata langkah seterusnya akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan periuk api, yang disifatkan lebih mendesak memandangkan periuk api menimbulkan risiko serius kepada orang awam yang tidak bersalah.

Kemboja telah memulakan pemindahan senjata tenteranya di sepanjang sempadan pertikaian dengan Thailand susulan pemeteraian bersejarah Perjanjian Damai KL pada Ahad.

Agensi berita negara, Agence Kampuchea Presse, melaporkan bahawa operasi itu dijalankan di bawah pemantauan Pasukan Pemerhati ASEAN dan Kementerian Pertahanan sejak malam Ahad.

Sementara itu, perdana menteri menolak spekulasi bahawa pusat pemeriksaan sempadan Thailand-Kemboja akan dibuka semula pada 1 Nov ini.

Anutin menjelaskan bahawa pembukaan semula sempadan hanya akan dipertimbangkan sebagai langkah terakhir.

“Sempadan belum dibuka semula,” katanya.

Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur merasmikan perjanjian gencatan senjata terdahulu yang dicapai selepas Kemboja dan Thailand bersetuju menamatkan konflik sempadan mereka semasa Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Kuala Lumpur pada 7 Ogos. 

Mesyuarat itu diadakan susulan mesyuarat khas pada 28 Julai di Putrajaya yang berjaya menghentikan pertempuran bersenjata selama lima hari di kawasan sempadan.

Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu berhubung sempadan tidak bertanda sepanjang 817 kilometer telah meningkat menjadi konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai, menyebabkan kira-kira 300,000 orang dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.

-- BERNAMA