Inovasi Menuntut Keupayaan Membina - CEO Kumpulan CIMB
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Negara yang kekurangan keupayaan untuk membina akan bergelut untuk berinovasi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin.
Hal itu sekali gus menekankan peranan penting pelaburan infrastruktur dalam memacu daya saing ekonomi bagi jangka masa panjang.
Beliau berkata kerajaan atau syarikat perlu terus membuat inovasi untuk mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan justeru inovasi sedemikian hanya mungkin berhasil apabila disokong oleh infrastruktur asas yang kukuh.
“Untuk berinovasi, anda perlu memiliki keupayaan untuk membina. Di sinilah peranan infrastruktur. Kita perlu terus membiayai projek infrastruktur supaya negara-negara dapat memiliki keupayaan itu,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di sini, hari ini.
Sidang kemuncak itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Takrif pembangunan infrastruktur kini telah berkembang melangkaui jalan bertol dan loji jana kuasa untuk turut merangkumi tenaga boleh baharu, pusat data dan kesambungan digital yang memerlukan model pembiayaan inovatif dan fleksibel, katanya.
Novan yang merujuk Empangan Bakun di Sarawak sebagai contoh kejayaan perancangan jangka masa panjang berkata projek yang pernah dikritik sebelum ini ekoran kosnya itu kini membekalkan tenaga boleh baharu yang murah sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Apabila kita menilai semula, itulah sebenarnya perkara betul yang telah dilakukan. Itulah perkara amat penting yang perlu dilakukan oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.
Novan berkata kepentingan kerjasama tenaga serantau yang semakin meningkat, khususnya dalam konteks inisiatif Grid Tenaga ASEAN, menjadi semakin relevan susulan peningkatan permintaan terhadap tenaga bersih.
“Grid Tenaga ASEAN semakin relevan memandangkan permintaan rantau ini terhadap tenaga bersih terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata dasar tenaga yang terselaras dapat membantu ASEAN mengimbangi matlamat kemampanan dengan keperluan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Ucapan Novan itu menunjukkan konsensus yang lebih luas dalam kalangan pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak tahun ini bahawa pelaburan berterusan dalam infrastruktur dan kerjasama tenaga akan menjadi pemacu untuk memastikan pertumbuhan inklusif serta meningkatkan daya tahan blok ini dalam era perubahan teknologi dan alam sekitar yang pesat.
-- BERNAMA
