Sidang Kemuncak ASEAN: Guterres Tekankan Reformasi Majlis Keselamatan PBB
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres sekali lagi menegaskan keperluan melaksanakan reformasi terhadap Majlis Keselamatan PBB (UNSC), dengan menyifatkan struktur badan itu kini sudah lapuk dan tidak mencerminkan realiti geopolitik dunia masa kini.
Beliau berkata UNSC, yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua, kini berdepan masalah dari segi legitimasi dan keberkesanan, yang menyebabkan ketidakseimbangan serta menjejaskan kredibiliti majlis berkenaan.
“Dari segi legitimasi, kerana keanggotaannya tidak lagi sepadan dengan realiti dunia hari ini. Kita mempunyai tiga ahli tetap dari Eropah - Perancis, United Kingdom (UK) dan Rusia - dan hanya seorang dari Asia. Tiada ahli tetap dari Amerika Latin atau Afrika.
“Ini menunjukkan Majlis Keselamatan langsung tidak mencerminkan dunia masa kini. Oleh itu, amat penting untuk ada wakil tetap dari Afrika. Begitu juga dengan penambahan wakil tetap dari Asia,” katanya pada sidang media menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.
Menyentuh isu keberkesanan, Guterres berkata kuasa veto yang dipegang oleh lima ahli tetap - China, Perancis, Rusia, UK dan Amerika Syarikat - sering menghalang keupayaan UNSC untuk bertindak secara tegas dalam menangani krisis global.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan cadangan daripada Perancis dan UK untuk mengehadkan penggunaan kuasa veto dalam keadaan tertentu, sambil menyatakan bahawa inisiatif itu wajar diberi pertimbangan serius.
“Saya fikir amat menarik sekiranya anggota Majlis Keselamatan benar-benar meneliti cadangan tersebut,” katanya.
Selain lima ahli tetap yang mempunyai kuasa veto, UNSC turut mempunyai 10 ahli tidak tetap yang dipilih oleh Perhimpunan Agung PBB untuk tempoh dua tahun.
Sepuluh negara yang kini memegang keanggotaan tersebut ialah Algeria, Denmark, Greece, Guyana, Pakistan, Panama, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia dan Somalia.
Malaysia sebelum ini turut menyeru reformasi UNSC kerana anggota tetap boleh memveto sebarang konsensus yang dicapai oleh majoriti anggota PBB.
Sementara itu, Guterres berkata cadangan pengurangan 18.8 peratus kakitangan menjelang 2026 adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan kecekapan organisasi, dan bukan disebabkan krisis kewangan berikutan pengurangan dana daripada AS.
“Apa yang kami lakukan ialah mengiktiraf bahawa kami boleh menambah baik - menjadi lebih cekap, lebih berkesan dari segi kos, dan melaksanakan mandat dengan lebih baik. Kami berusaha untuk memperkukuh keupayaan kami dalam memberi khidmat dengan cara yang lebih efisien, tanpa menjejaskan mandat kami terhadap masyarakat yang kami berkhidmat untuk mereka.
“Itulah sebabnya akan berlaku pengurangan beberapa jawatan dalam Sekretariat, namun tidak di semua bahagian. Khususnya, segala usaha yang berkaitan dengan sokongan kepada negara membangun di lapangan supaya mereka dapat mengatasi cabaran semasa tidak akan dikurangkan,” katanya.
-- BERNAMA
