Kanada Sedia Sambung Semula Rundingan Perdagangan Dengan AS

27/10/2025 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kanada bersedia untuk menyambung semula rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Mark Carney hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penetapan masa bagi sebarang rundingan bergantung kepada Washington.

“Kami bersedia untuk duduk semeja dengan AS - saya dengan Presiden (Donald Trump), rakan sejawat saya dengan rakan sejawat mereka - apabila AS bersedia untuk berbincang... tetapi sudah tentu, kami tidak menentukan waktunya,” katanya pada sidang akhbar di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Khamis lepas, Trump mengumumkan bahawa beliau menghentikan rundingan perdagangan dengan Kanada selepas satu iklan politik di Ontario menyiarkan petikan ucapan ikon Republikan dan bekas Presiden Ronald Reagan yang menyatakan tarif boleh mencetuskan perang dagang dan malapetaka ekonomi.

Washington turut mengumumkan tambahan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import dari Kanada pada Sabtu.

Kanada merupakan rakan dagang kedua terbesar Amerika Syarikat.

Carney mengulangi bahawa Kanada akan terus meneruskan agenda kepelbagaian perdagangan, termasuk perjanjian baharu di Asia dan Eropah serta mempercepatkan rundingan dengan ASEAN.

-- BERNAMA