ASEAN Manfaat Kepakaran AMRO Tingkat Keupayaan Tangani Cabaran Geoekonomi
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- ASEAN berhasrat memanfaatkan kepakaran Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) bagi memperkukuh pemahaman dan keupayaan rantau ini dalam menangani cabaran geoekonomi yang sedang dihadapi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata penglibatan ini mencerminkan komitmen ASEAN untuk memperkukuh daya tahan ekonomi di tengah-tengah landskap global yang berubah pantas, termasuk perubahan dalam perdagangan, pelaburan dan hubungan ekonomi strategik.
“Kami mahu berinteraksi dengan mereka untuk melihat apa yang sedang dijalankan dan bagaimana kami boleh terus bekerjasama dalam memantau cabaran geoekonomi di ASEAN,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Pengarah AMRO Yasuto Watanabe.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Ketua Kumpulan Strategi dan Penyelaras AMRO, Hideaki Hamada.
Liew berkata Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN telah membentangkan Laporan Geoekonomi ASEAN pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN (AMM-AEM) Sabtu lepas, merupakan pertemuan pertama seumpamanya dalam lebih dua dekad.
Beliau menyatakan harapan agar ASEAN dapat menerbitkan laporan itu setiap tahun, dengan mesyuarat tersebut menjadi acara tahunan yang dipantau oleh AMRO bagi membantu negara anggota ASEAN membincangkan dan mengambil tindakan terhadap cabaran geoekonomi.
Menurut kenyataan pengerusi mesyuarat berkenaan Sabtu lalu, Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN telah mengesyorkan agar pegawai mereka meneliti cadangan untuk menjadikan Mesyuarat Bersama AMM-AEM sebagai satu acara tahunan tetap yang diadakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN.
Mesyuarat dua hala hari ini diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
