Anwar Berterima Kasih Kepada Setiausaha Agung PBB Atas Usaha Memelihara Keamanan

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao (kiri). --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/10/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres atas kepimpinan bermoral dan usaha berterusan beliau dalam memelihara keamanan.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 hari ini, Anwar memuji Guterres sebagai suara yang gigih dan berani dalam menegakkan multilateral, kebebasan dan hak negara-negara serta kumpulan minoriti.

“Kehadiran anda dan lebih penting lagi, suara kebimbangan dan keberanian anda yang berterusan adalah penting dalam mempertahankan keseluruhan urusan multilateral, kebebasan dan penghormatan terhadap hak negara-negara dan minoriti,” katanya.

Anwar, yang mempengerusikan sesi itu, turut melahirkan rasa kagum terhadap ketabahan dan keyakinan moral Guterres yang konsisten dalam menghadapi beberapa krisis paling mendesak di dunia, termasuk bencana kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Sementara itu, Guterres dalam ucapannya mengenal pasti empat bidang kerjasama utama antara ASEAN dan PBB, iaitu keamanan dan pencegahan, pembangunan mampan dan keadilan kewangan, tindakan iklim dan transformasi digital berserta keselamatan siber.

Beliau berkata perkongsian ASEAN-PBB dibina berdasarkan prinsip yang dikongsi dan diperkukuh menerusi kerjasama praktikal di bawah Perkongsian Komprehensif ASEAN-PBB dan Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026–2030.

Guterres turut memuji sumbangan ASEAN kepada misi pengaman PBB di seluruh dunia, mencerminkan keberanian dan komitmen rantau ini terhadap keamanan dan kestabilan global.

“Saya memuji peranan Malaysia dalam membantu gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, mendorong jalan ke arah penyelesaian secara aman pertikaian itu,” katanya.

Mengenai situasi di Laut China Selatan, Guterres menekankan kepentingan mencegah insiden dan menggesa semua pihak memajukan pelaksanaan Kod Tatalaku (COC).

Mengulas konflik Myanmar, Setiausaha Agung PBB itu menyifatkan keamanan di negara berkenaan masih sukar dicapai, menyatakan bahawa ribuan telah terbunuh dan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya pertumpahan darah dan menggesa semua pihak untuk menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan dan terlibat dalam proses politik yang terangkum,” katanya.

Guterres turut memuji komitmen ASEAN memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar (ketika gempa bumi), sambil menekankan bahawa haluan ke hadapan mesti membawa kepada pemulihan demokrasi, institusi yang berpaksikan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

“Sebarang pilihan raya yang diadakan di bawah keadaan semasa, berisiko mengakibatkan lebih banyak pengasingan dan ketidakstabilan,” katanya memberi amaran. 

-- BERNAMA