ASEAN-China Komited Kurangkan Halangan Perdagangan, Perkukuh Aliran Dagang Serantau
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN dan China sedang menumpukan kepada usaha mengurangkan halangan perdagangan antara kedua-dua pihak bagi memastikan aliran dagangan yang lebih lancar dan berkesan di rantau ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perkara itu akan menjadi antara topik utama perbincangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.
"Kita sedang melihat bagaimana untuk menurunkan halangan-halangan perdagangan antara ASEAN dan China supaya tidak ada pertindihan yang boleh menyukarkan urusan perdagangan," katanya kepada media di sini hari ini.
Langkah itu sebahagian daripada usaha ASEAN dan China untuk memudah cara perdagangan dan pelaburan serantau sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai blok ekonomi dinamik.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjelaskan perincian lanjut mengenai mekanisme pemudah cara perdagangan itu pada petang ini.
Sebelum ini, Anwar menyifatkan ACFTA 3.0 yang bakal dimeterai hari ini sebagai pencapaian penting yang akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik ASEAN dengan China serta memperkukuh daya tahan ekonomi serantau secara kolektif.
-- BERNAMA
