Malaysia, Vietnam Bincang Usaha Muktamad Pelan Tindakan Kerjasama Strategik Komprehensif

28/10/2025 01:41 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

KUALA LUMPUR,  28 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Vietnam menerusi pertemuan dua hala hari ini membincangkan usaha memuktamadkan Pelan Tindakan Kerjasama Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan bersama rakan sejawatnya Perdana Menteri Pham Minh Chinh itu turut terarah kepada perluasan kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, elektrik dan elektronik (E&E), kercerdasan buatan (AI) semikonduktor dan industri halal.

"Mesyuarat itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama tenaga hijau menerusi projek Gentari-TNB-Petrovietnam melibatkan tenaga angin dan solar," kata beliau.

Anwar berkata kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global termasuk keselamatan makanan, jenayah rentas sempadan, Laut China Selatan dan Myanmar dengan komitmen untuk memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama dan menangani isu yang menjadi cabaran serantau serta global secara menyeluruh.

-- BERNAMA