Anwar Puji Peranan Australia Sejak Jadi Rakan Dialog Pertama ASEAN

28/10/2025 04:52 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman & Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada Australia yang telah sekian lama menjalinkan kerjasama dengan ASEAN sejak Canberra menjadi rakan dialog pertama badan serantau berkenaan. 

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Anwar mengalu-alukan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan delegasinya, sambil berkata Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah mesyuarat itu di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” . 

Selaku  pengerusi, Perdana Menteri berkata Australia kekal sebagai penyokong teguh dan konsisten terhadap ASEAN sepanjang beberapa dekad transformasi serantau.

Australia bukan sahaja rakan dialog pertama badan serantau itu pada 1974, malah yang pertama menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita” serta menekankan keselarasan inisiatif itu dengan visi strategik serantau. 

“Kita telah menyaksikan pencapaian penting bersama sejak pemeteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 2020, Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Australia-New Zealand pada 2023, dan sambutan ulang tahun ke-50 pada 2024,” kata beliau.

Beliau berkata sidang kemuncak hari ini menyediakan platform penting untuk ASEAN dan Australia bertukar-tukar pandangan, memperkukuh kerjasama dan mengenal pasti peluang baharu bagi memperteguh hubungan dua hala.

Ditubuhkan pada 2021, Sidang Kemuncak ASEAN-Australia berperanan sebagai forum peringkat tinggi antara pemimpin ASEAN dan Australia di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

-- BERNAMA