ASEAN: Keramahan, Profesionalisme Malaysia Tinggalkan Kenangan Kepada Delegasi Media

28/10/2025 05:21 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli and Nur Syuhada Yusof

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Sebaik sahaja tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dilabuhkan hari ini, wakil media antarabangsa yang membuat liputan sepanjang minggu, meninggalkan Kuala Lumpur dengan penuh kekaguman terhadap kepengerusian Malaysia tahun ini yang disifatkan sebagai gabungan kecekapan, keramahan dan keindahan budaya.

Bagi kebanyakan daripada mereka, sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula pada Ahad lepas, bukan sekadar pertukaran diplomatik, tetapi juga peluang untuk menyaksikan kepelbagaian dan profesionalisme Malaysia.

Koresponden Prime Media World Ltd. yang berpangkalan di United Kingdom, Hamza Wyne berkata kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukannya amat mengagumkan, sambil menyifatkan sidang kemuncak ini menjadi antara acara yang diingati pada tahun-tahun akan datang.

Bercakap kepada Bernama, Hamza yang berasal dari Pakistan berkata keupayaan Malaysia mengimbangi perbincangan kompleks dengan mencapai hasil ketara mencerminkan profesionalisme dan perpaduan antara negara anggota ASEAN.

“Saya amat gembira berada di KLCC untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan saya sangat menghargai perkara yang dilakukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN … (Malaysia) telah melaksanakan tugas dengan baik dan menjadi tuan rumah yang cemerlang.

“Sudah tentu perkara ini akan memberikan manfaat kepada ASEAN, malah bukan sahaja ASEAN, tetapi juga seluruh rantau dan juga dunia,” katanya sambil menzahirkan kekaguman terhadap ketelitian Malaysia dalam menganjurkan acara berkenaan.

Hamza yang pernah membuat liputan beberapa acara antarabangsa berkata keramahan Malaysia bukan hanya dirasai di lokasi rasmi, tetapi juga terserlah dalam budaya dan cara rakyat Malaysia melayani tetamu “seolah-olah berada di rumah sendiri”.

Wartawan RTTL World News dari Timor-Leste Paulina Quintao turut terpegun dengan kemampuan Malaysia menguruskan acara berprofil tinggi dengan penuh keyakinan dan profesionalisme, sambil menyatakan kejayaan Malaysia memberikan contoh berharga buat Timor-Leste yang bersedia untuk integrasi ASEAN yang lebih mendalam.

“Mungkin dalam lima atau enam tahun akan datang, Timor-Leste juga dapat belajar daripada pengalaman Malaysia cara mengendalikan acara yang begitu besar kerana saya tahu penganjuran ini bukan mudah, namun Malaysia telah menunjukkan yang terbaik dalam menganjurkan sidang kemuncak tahun ini,” katanya.

Niko Llamoso dari Filipina, penulis di Presidential Broadcast Staff - Radio Television Malacañang pula melihat penganjuran Malaysia dalam lensa berbeza – sebagai negara yang akan memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun depan.

“Inilah masa yang tepat untuk kami melihat dan belajar daripada Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN,” katanya menjelaskan bahawa contoh yang ditunjukkan Malaysia akan membantu Filipina memperkukuh strategi komunikasi bagi kepengerusian tahun depan.

Beliau berkata kesiapsiagaan digital dan penyelarasan maklumat negara ini amat menyerlah, menjadi model untuk penglibatan awam yang berkesan.

“Kami (di Filipina) perlu seiring dengan kemajuan teknologi terkini, terutamanya dalam penggunaan media sosial supaya dapat menyampaikan maklumat yang diperlukan dengan berkesan tentang ASEAN,” katanya.

Bagi Leonardo Pape, wartawan Taz dari Jerman berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuka pemahaman yang lebih mendalam mengenai kaedah masyarakat majmuk di Malaysia membentuk pendekatan terhadap diplomasi.

Beliau yang tiba di Kuala Lumpur seminggu sebelum sidang kemuncak bermula, terpikat dengan kepelbagaian di negara ini, bukan sahaja dari segi rakyatnya, tetapi juga dari segi keterbukaan kepada perspektif berbeza.

“Malaysia ialah sebuah negara yang berbilang budaya dan terdapat banyak hubungan perdagangan serta kepelbagaian budaya,” katanya dan menambah kepelbagaian itu mencerminkan pendekatan diplomatik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Pape berkata semangat keterangkuman Malaysia diterjemahkan kepada kaedah mengendalikan perbincangan serantau, menonjolkan keterbukaan negara terhadap pelbagai bentuk kerjasama dan kemahiran dalam menyatukan budaya dan pandangan politik yang berbeza.

Sepanjang minggu berada di ibu negara, beliau turut menikmati pengalaman budaya apabila meraikan Deepavali buat kali pertama dan menyelami keindahan perpaduan komuniti India, Melayu dan Cina – gambaran nyata kepada perpaduan ASEAN dalam kepelbagaian.

Ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berakhir hari ini, suara para profesional media ini lebih sekadar mendedahkan pemerhatian kerana mereka juga menyampaikan sisi kemanusiaan dalam diplomasi.

Bagi Malaysia, kepengerusian tahun ini bukan hanya tentang memacu kerjasama serantau, tetapi bagi mereka yang datang dari seluruh dunia untuk membuat liputan, peluang itu juga merupakan satu pengalaman merasai sebuah negara yang meraikan diplomasi seperti berada di rumah sendiri.

-- BERNAMA