IMF Belajar Daripada Malaysia, ASEAN Untuk Perkukuh Kerangka Dasar Global - Georgieva

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva
28/10/2025 07:34 PM

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mendapat pandangan dasar penting daripada Malaysia dan blok ASEAN untuk mengurus kejutan luar dalam usaha memperkukuh rangka kerja dasar globalnya berikutan ekonomi yang semakin tidak menentu.

Pengarah Urusan Kristalina Georgieva berkata daya tahan rantau Asia Tenggara dalam mengurus kejutan luar telah memberi pengajaran berharga mengenai cara sesebuah negara boleh menyeimbangkan antara pertumbuhan dan kestabilan.

“Di IMF, kami belajar beberapa perkara dari Malaysia dan dari ASEAN untuk digabungkan dalam pendekatan dasar keseluruhan kami,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Beliau turut mengakui pengurusan fiskal dan monetari yang inovatif di rantau ini.

“Lebih khusus, kami meneliti cara rantau ini menghadapi tekanan eksogen, dan kami sebenarnya telah menghasilkan rangka kerja dasar bersepadu, untuk menggabungkan dasar monetari, dasar fiskal dan dasar kewangan supaya lebih sesuai dan lebih cekap untuk dunia yang pesat berubah,” katanya.

Beliau berkata IMF kini memberi tumpuan lebih besar kepada pengalaman dan kerjasama serantau untuk mencipta instrumen makroekonomi yang lebih inklusif dan fleksibel.

“Dalam melangkah ke hadapan, kami berusaha untuk meningkatkan kerjasama serantau kami dengan ketara.

“Dalam dunia multipolar, IMF perlu mencerminkan realiti keahlian kami,” katanya dengan menjelaskan, itu bermakna pihaknya perlu lebih mendengar suara rantau seperti ASEAN, yang telah menunjukkan daya tahan, inovasi dan kepimpinan ketika tempoh ketidaktentuan.

Beliau berkata pihaknya kagum apabila mendapati ASEAN berupaya bertindak balas dengan cepat terhadap kejutan, mengenal pasti risiko ketidaktentuan perdagangan dan berusaha mencari penyelesaian.

Walaupun tahap pembangunan negara anggota ASEAN berbeza-beza namun, semangat perpaduan menjadi pendorong besar dalam menghadapi cabaran, katanya.

“Perkara yang saya kagum di sini adalah semangat perpaduan. Secara simboliknya, perpaduan ini telah dibuktikan dengan penerimaan anggota baharu, Timor Leste,” katanya.

Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 merupakan antara tumpuan utama semasa sidang kemuncak di Kuala Lumpur.

Peristiwa bersejarah dilakar Dili itu menandakan perluasan jangkauan ASEAN untuk menaungi setiap negara berdaulat di rantau Asia Tenggara.

Dalam usaha itu, Timor-Leste melalui perjalanan yang panjang sejak permohonan keanggotaan ASEAN dibuat secara rasmi pada 2011.

“Walaupun negara anggota ASEAN berada pada tahap pembangunan yang berbeza serta mempunyai keutamaan domestik yang berlainan namun mempunyai semangat untuk bersatu, malah kepimpinan Malaysia dalam membangkitkan rasa perlunya untuk bertindak segera adalah amat mengagumkan,” katanya.

Georgieva berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan amat luar biasa, dengan lebih 30 ketua negara dan kerajaan serta pemimpin organisasi dunia berkumpul di Kuala Lumpur.

“(Secara literal), seluruh dunia berada di Malaysia. Jadi, perhimpunan ini bukan sekadar Sidang Kemuncak ASEAN malah melibatkan organisasi di luar rantau ini dan badan-badan dunia,” katanya.

Sidang kemuncak itu turut dihadiri oleh Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva yang mengetuai BRICS dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg pada November 2026.

 

Pertingkat Dagangan Intra-ASEAN, Terutama Produk Akhir

Georgieva berkata dalam melangkah maju, walaupun blok itu mempunyai asas makroekonomi yang kukuh, dasar yang baik, institusi yang teguh serta dinamisme kedua sektor swasta namun blok itu perlu menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan angka perdagangan intra-ASEAN.

“Lebih banyak perdagangan pada masa hadapan maka baik juga untuk negara anggota, dan kemudian kita mempunyai peluang besar untuk ASEAN terus berintegrasi dan menjadi kuasa yang kuat untuk warganya,” katanya.

IMF mengunjurkan ekonomi ASEAN berkembang 4.3 peratus pada 2025.

“ASEAN hanya mencatatkan 22 peratus dari segi perdagangan dalam lingkungan blok ini. Kebanyakan dagangan adalah melibatkan barangan pertengahan, bukan barangan akhir. Jika dibandingkan dengan Kesatuan Eropah, 60 peratus perdagangannya berlaku dalam lingkungan kesatuan itu, dan kebanyakannya adalah barangan akhir.

“Jelas, masih jauh lagi untuk ASEAN,” katanya.

Beliau berkata ekonomi terbuka tidak boleh meraih manfaat daripada dasar perlindungan.

IMF juga menjangkakan lebih banyak potensi bagi integrasi kewangan yang lebih kukuh di rantau ini, katanya.

“Kita bercakap mengenai integrasi perdagangan melibatkan pelbagai perkara selain langkah memanfaatkan sepenuhnya simpanan warga menerusi pasaran modal, bukan hanya hanya sekadar melalui sistem perbankan,” katanya.

Georgieva berkata pembayaran rentas sempadan adalah perkara yang amat positif justeru, ia perlu diperluas.

Beliau berkata blok ASEAN perlu memanfaatkan sepenuhnya kecerdasan buatan (AI).

“Ada peneraju global yang baik bagi AI iaitu Singapura, manakala negara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia, yang menerima gunanya dengan baik dan boleh menjadi pemacu pertumbuhan,” katanya.

 

Mengharungi Ketidaktentuan

Pengarah Urusan IMF itu berkata ASEAN diingatkan bahawa dunia kini sedang menempuh era yang penuh ketidaktentuan, dicetuskan oleh gabungan kuasa global yang kuat dan membentuk semula ekonomi dan masyarakat.

“Kita kini berada dalam dunia yang tidak menentu, itu tidak dapat disangkal, dengan empat kuasa utama mempengaruhi kita semua pada masa sama iaitu geopolitik, teknologi, demografi, dan perubahan iklim,” katanya.

Georgieva berkata dinamik kuasa global telah beralih ke arah dunia multipolar, kemajuan teknologi amat berkembang pesat, jurang demografi semakin melebar antara negara menua dan negara belia manakala perubahan iklim terus memberi tekanan meningkat di seluruh dunia.

Cara untuk menangani cabaran itu pertama adalah dengan memastikan negara berada dalam keadaan baik melalui pengukuhan dasar dan institusi domestik serta menumpukan kepada langkah memanfaatkan inovasi dan kreativiti, katanya.

“Ketika tempoh ketidaktentuan, anda tidak boleh tegar dengan rancangan jangka masa panjang. Anda mesti mampu menyesuai dan berubah mengikut keadaan.

“Namun, ini tidak bermakna anda perlu meninggalkan prinsip anda,” katanya.

Georgieva yang merujuk kepada Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai contoh, memuji matlamatnya untuk meningkatkan pendapatan, mempercepat peralihan hijau dan memastikan peluang yang saksama untuk seluruh rakyat.

“Rancangan itu mengenai usaha mengekalkan tadbir urus yang baik di samping kekal cekap. Apabila keadaan berubah, dasar mesti berkembang, tetapi visi untuk pertumbuhan inklusif dan kemampanan perlu kekal sama,” katanya.

Paling utama, kepercayaan rakyat dan perpaduan sosial adalah penting, katanya.

“Kita melihat golongan muda berada jalanan di banyak negara kerana mereka merasa terpinggir daripada peluang dan tidak pasti mengenai masa depan mereka,” katanya.

Oleh itu, keterangkuman juga sama penting, katanya.

“Dalam dunia yang semakin tidak menentu dan sering mengalami kejutan, masyarakat yang bersatu dan inklusif akan sentiasa bangkit menjadi lebih kuat,” katanya.

-- BERNAMA