Rundingan ASEAN Bantu Kurangkan Kes Serangan Di Myanmar - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Campur tangan ASEAN bagi mencari penyelesaian melibatkan krisis di Myanmar, termasuk melalui beberapa siri pertemuan dan rundingan bersama beberapa pemimpin negara berkenaan setakat ini telah berjaya mengurangkan insiden serangan di beberapa wilayah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN menyifatkan situasi di Myanmar kini adalah lebih baik berbanding sebelum ini, biarpun mengakui masih berlaku beberapa peristiwa serangan.
“Ada satu dua peristiwa, tetapi tidak seperti mana didengari dua tiga tahun yang lepas apabila kampung dihancurkan, pembunuhan berlaku bahkan pelarian ratusan ribu, kini tidak, ya masih berlaku dan kita kesalkan, tetapi ia jauh lebih berkurang, lebih tenang daripada biasa,” kata beliau.
Anwar berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata perkembangan positif itu berjaya dicapai hasil usaha sedaya upaya ASEAN untuk membawa keamanan di Myanmar.
“Ada yang bertanya tentang penyelesaian Myanmar, kita tidak berganjak keputusan tentang (pelaksanaan) Konsensus Lima Perkara (5PC).
“Kemudian kita bincang, kita akui kerana saya bertemu dengan Min Aung Hlaing ketika itu sebagai Senior Jeneral dan Perdana Menteri sebanyak dua kali di Bangkok dan Beijing, selain pertemuan Menteri Luar dengan beberapa rakan sejawat serta pemimpin-pemimpin Myanmar,” kata beliau.
Anwar berkata perkara berkenaan menunjukan bahawa ASEAN bersedia untuk mengadakan hubungan baik dengan Myanmar.
“Faedahnya, sejak setahun lepas, setelah kita (ASEAN) campur tangan, runding dengan mereka dan mereka hentikan serangan, dan kita akan terus sedaya upaya bawa kebaikan dan perubahan, hentikan serangan, dan apa upaya kita yang pertama? hentikan serangan baik kepada Buddhi Karen atau Muslim Rakhine.
“Walaupun pencapaian kita ini tidak sepenuhnya, namun permulaannya ia kejayaan sangat besar dan sekarang kita kena teruskan, masih banyak perlu dibuat, biarpun agak rumit dan sukar, kerana kita tidak boleh terima serangan dan pembunuhan berlaku,” kata beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula di ibu negara Ahad lepas, melabuhkan tirainya hari ini dengan Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina.
-- BERNAMA
