Hubungan Malaysia-Indonesia Teras Kestabilan, Pemangkin Ekonomi Serantau
Oleh Ummu Khalidah Hamzah
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Ikatan serumpun yang terjalin erat antara Malaysia dan Indonesia bukan sekadar menjadi teras kestabilan serantau, malah berperanan sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh kerjasama ekonomi ASEAN.
Menteri Penasihat (Urusan Ekonomi) Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia, Hendra P. Iskandar berkata hubungan akrab antara dua negara jiran ini telah memudahkan pelaksanaan pelbagai bentuk kerjasama ekonomi dan perdagangan, termasuk dalam bidang pelancongan, perubatan, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.
“Hubungan ekonomi Malaysia dan Indonesia sangat erat. Dari segi kesalinghubungan sahaja, lebih 30 penerbangan sehari menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta dan ini menunjukkan keinginan kuat kedua-dua pihak untuk terus memajukan hubungan,” katanya semasa menjadi tetamu program terbitan Bernama TV sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 malam tadi.
Hendra turut menekankan bahawa kerjasama serantau menerusi platform seperti Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) membuktikan kesungguhan kedua-dua negara membangunkan wilayah sempadan secara bersama untuk kemaslahatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.
“Kita mahu hasil yang konkrit, bukan sekadar perbincangan di peringkat tinggi, tetapi kerjasama nyata yang memberi kesan langsung kepada masyarakat, perdagangan dan pelancongan rentas sempadan,” jelasnya.
Dalam konteks ekonomi digital, beliau berkata Malaysia dan Indonesia turut menjadi pemangkin pelaksanaan ASEAN Payment Connectivity, iaitu sistem pembayaran rentas sempadan menggunakan kod imbas QR yang memudahkan urusan pelancongan dan perniagaan mikro tanpa perlu menukar mata wang asing.
“Penggunaan kod QR antara Malaysia dan Indonesia sudah mula dilaksanakan dan ini akan memudahkan pelancong serta usahawan mikro. Ia juga menjadi asas kepada integrasi kewangan ASEAN yang lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Prof Dr Mohd Abdullah Jusof dari Jabatan Pengurusan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kini mencecah lebih RM100 bilion, menggambarkan kebergantungan ekonomi yang erat serta hasil timbal balas yang positif kepada kedua-dua negara.
Beliau yang tampil sebagai tetamu dalam program sama berkata angka tinggi itu turut menunjukkan Malaysia dan Indonesia mempunyai potensi besar untuk memacu integrasi ekonomi ASEAN ke tahap lebih mendalam seterusnya wajar dijadikan model integrasi ekonomi bagi negara dalam blok rantau ini.
"Walaupun Malaysia dan Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia, persaingan itu tidak menjadi halangan sebaliknya, mereka bekerjasama dalam kajian dan pembangunan untuk menghasilkan minyak sawit berkualiti tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu bagi program yang sama.
Beliau berkata kerjasama dua hala itu turut berkembang meliputi pelbagai bidang baharu dan berimpak tinggi seperti pendidikan, tenaga boleh diperbaharui serta halal dan perbankan Islam.
Dalam sektor pendidikan, Mohd Abdullah berkata hubungan akademik antara kedua-dua negara terus berkembang menerusi pertukaran pensyarah dan penyelidik selain pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara universiti di Malaysia dan Indonesia yang memupuk perkongsian ilmu dan kepakaran.
Bagi sektor tenaga boleh diperbaharui, katanya kedua-dua negara boleh saling melengkapi dalam pembangunan tenaga hijau dengan Malaysia memberi tumpuan kepada tenaga solar, manakala Indonesia mempunyai potensi besar dalam tenaga geoterma dan mini hidro.
Beliau juga berpandangan bahawa konsep industri halal yang menekankan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pelancongan berpotensi diangkat sebagai jenama ASEAN di peringkat global seperti Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) ASEAN yang mempamerkan piawaian tinggi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Malaysia dan Indonesia menyelaras sistem pensijilan halal masing-masing bagi mewujudkan sinergi yang lebih kukuh, memandangkan sijil halal Malaysia diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
