ASEAN Hampiri Matlamat Pasaran Tunggal Melalui Perjanjian Perdagangan Dipertingkat

28/10/2025 03:00 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN melakar satu lagi pencapaian penting ke arah menjadi pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran selepas negara anggota memuktamadkan dan memeterai Perjanjian Pedagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkat.

Perjanjian berkenaan bertujuan mengukuhkan integrasi perdagangan dan pelaburan merentasi rantau itu.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata perjanjian tersebut dimeterai pada waktu yang tepat iaitu apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan ASEAN menghampiri US$4 trilion (AS$1 = RM4.20).

Pencapaian itu menunjukkan perdagangan intra-ASEAN kini merangkumi 21.5 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan, satu angka yang mahu terus ditingkatkan oleh pemimpin serantau bagi menggalakkan kesalinghubungan ekonomi dan aliran perniagaan yang lebih mendalam.

“KDNK kita kini menghampiri US$4 trilion dan daripada jumlah itu, sekitar 21.5 peratus adalah perdagangan intra-ASEAN. Kita mahu meningkatkan lagi perdagangan intra-ASEAN dan pelaburan ke arah memperkukuh kesalinghubungan.

“Ia sesuatu yang baik untuk rantau ini dan juga rakyat ASEAN. Namun pada masa sama, itu tidak bermakna kita harus berhenti di sini,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Kao berkata pengukuhan integrasi ekonomi kekal menjadi kunci utama bagi memastikan kemakmuran untuk lebih 680 juta penduduk rantau ini, di samping memperteguh peranan ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan global.

“Pagi ini, kita memeterai dan memuktamadkan Protokol Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dipertingkatkan dan kita menjangkakan tahun ini buat kali pertama mencatatkan perdagangan bernilai US$1 trilion antara ASEAN dan China. Langkah itu akan melonjakkan potensi perdagangan antara kedua-dua pihak.

“Pada masa sama, kita juga telah menghadiri Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima. Jadi, kita menyeru lebih banyak ekonomi untuk menyertai RCEP. Ini bermakna ASEAN kini mempunyai perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia melalui RCEP dan mahu terus memperluas keanggotaannya,” katanya.

Kao berkata ASEAN kini berada di tengah-tengah RCEP yang sedang berkembang pesat, satu blok perdagangan terbesar dunia yang merangkumi 30 peratus KDNK serta populasi global, dan sedang giat menarik lebih banyak penyertaan baharu.

Menurut Kao, mengekalkan keamanan di Asia Tenggara merupakan asas utama yang tidak boleh dikompromi bagi memastikan aliran perdagangan dan pelaburan kekal mampan memandangkan dunia perniagaan menuntut kestabilan serta ketelusan.

“Jika tiada keamanan di rantau ini, kita tidak boleh menarik pelaburan atau mengembangkan perdagangan, dan ini menyebabkan pelabur tidak akan berniaga dengan kita. Disebabkan itu, usaha gigih bersama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan adalah sangat penting.

“Kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu muncul dan pendigitalan membuka begitu banyak peluang, namun pada masa sama turut membawa pelbagai risiko dan ancaman. Oleh itu, saya berpandangan perkara paling penting ialah kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat kita dilindungi, termasuk memastikan keselamatan data dan privasi terjamin,” katanya.

Kao berkata ketika ASEAN bertindak mempercepat integrasi perdagangan, langkah transformasi digital termasuk pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) akan membuka peluang besar kepada perusahaan dan tenaga kerja, seiring usaha rantau ini dalam memperkukuh daya saingnya.

“Tahun ini kita hampir memuktamadkan DEFA. Banyak perbincangan diadakan, bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN tetapi juga dengan rakan serta sektor swasta. Mereka amat berminat terhadap ekonomi digital kerana ia membawa potensi besar.

“Kita juga bekerjasama dengan rakan kongsi, termasuk syarikat teknologi global untuk melaksanakan program latihan kemahiran digital. Oleh itu, kita perlu terus memperkasa rakyat kita, khususnya golongan muda, meskipun mereka sememangnya sudah cukup celik teknologi di rantau ini,” kata beliau.

Kao berkata dengan peraturan perdagangan yang dipertingkat, kesalinghubungan serantau yang semakin kukuh serta pendekatan bersama terhadap cabaran global, ASEAN kini berada di landasan tepat sebagai kuasa ekonomi yang stabil dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA