Malaysia Serah Kepengerusian ASEAN Kepada Filipina
Oleh Linda Khoo Hui Li
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia hari ini secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina sekali gus menandakan peralihan kepimpinan secara simbolik ketika Malaysia memasuki fasa terakhir kepengerusian bagi tahun 2025.
Di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Kepengerusian Malaysia merangkumi lebih 300 mesyuarat sepanjang tempoh jawatannya, dengan beberapa lagi dijadual diadakan sebelum tarikh akhir iaitu 31 Dis ini, yang mencerminkan komitmen negara untuk memajukan kesatuan ASEAN, memperkukuh kerjasama serantau serta meningkatkan daya tahan blok serantau itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan tukul kepada Presiden Ferdinand R. Marcos Jr, yang menjadi simbolik pemindahan kuasa secara rasmi sekali gus membuka lembaran baharu bagi kepimpinan Filipina dalam ASEAN pada 2026.
Sejak mengambil alih jawatan itu daripada Laos, Malaysia menumpukan usaha memajukan kesatuan, keterangkuman dan kemampanan ASEAN sepanjang tahun kepengerusiannya.
Dua pencapaian penting menandakan kejayaan Kepengerusian Malaysia setakat ini iaitu penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.
Malaysia turut menerajui penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas.
Deklarasi itu menyaksikan pencapaian penting dalam komitmen bersama ASEAN serta menggambarkan visi jangka panjang untuk membina komuniti serantau yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berteraskan rakyat.
Malaysia turut memperkukuh penglibatan ASEAN di peringkat antarabangsa melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama dan kedua bagi memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan selaras dengan aspirasi blok serantau itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015.
-- BERNAMA
