EAS Platform Penglibatan Dengan Kuasa Global - PM Anwar

28/10/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan penglibatan berterusan dan dialog membina dalam kalangan kuasa besar global, walaupun tiada kenyataan bersama pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) baru-baru ini.

Beliau berkata EAS terus berperanan sebagai platform unik yang penting dan strategik iaitu melibatkan kuasa besar seperti Rusia, China dan Amerika Syarikat yang bersedia untuk berbincang mengenai isu-isu serantau dan global. 

“...tetapi dalam Sidang Kemuncak Asia Timur di ASEAN, sekurang-kurangnya ada kesediaan untuk terlibat dan mendengar. 

“Mereka mungkin setuju, mungkin tidak bersetuju, tetapi itulah pendirian dan konsensus dalam ASEAN adalah untuk memastikan terdapatnya penglibatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, di sini hari ini.

Anwar berkata keutamaan ASEAN adalah untuk memastikan saluran komunikasi terbuka walaupun terdapat pendirian berbeza dalam kalangan negara anggota dan rakan dialog.

“Kita tidak seharusnya berhenti melibatkan (kuasa besar) dan kedua, keamanan bagi kita adalah penting,” katanya.

Anwar juga menolak persepsi terdapat perselisihan faham mengenai isu serantau seperti Laut China Selatan.

“Saya tidak bersetuju (terdapat perselisihan faham) kerana kami semua bersetuju. Negara-negara ASEAN berkata berdasarkan tatalaku semasa. Perdana Menteri (China) Li Qiang menjawab berkata ya, kita harus memudahkan dan mempercepat proses dan persetujuan untuk kebaikan ASEAN dan semua pihak yang berkaitan.

“Semua bersetuju bahawa wilayah ini tidak seharusnya menjadi kawasan pertelingkahan kuasa besar," katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi mengenai pengaturan maritim dan latihan keselamatan, dengan mengambil kira kepentingan mengekalkan keseimbangan dan mengelakkan provokasi.

“Kami berurusan dengan beberapa aturan maritim dengan Amerika Syarikat (AS) dan ada latihan ketenteraan tradisional dengan Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura. Kami (juga) mempunyai aktiviti dan kerjasama maritim dengan China,” kata Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak akan membenarkan penempatan pasukan tentera asing di dalam sempadan maritim negara kerana ia akan bercanggah dengan dasar berkecuali dan kepusatan ASEAN yang telah lama dipegang oleh negara.

EAS merupakan forum pemimpin serantau peringkat tinggi, yang diadakan setiap tahun, memfokuskan kepada isu politik, keselamatan, ekonomi dan strategik yang menjadi perhatian bersama di Asia Timur dan Asia Tenggara serta wilayah berhampiran.

Lazimnya ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

Keanggotaannya bukan sahaja terdiri daripada negara ASEAN malah melibatkan kuasa utama dan rakan dialog AS, China, India, Rusia, Jepun, Australia dan New Zealand bagi perbincangan isu yang lebih luas.

-- BERNAMA