Krisis Gaza Dibangkitkan Berulang Kali, Termasuk Dalam "The Beast" - PM Anwar

28/10/2025 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa konflik di Gaza dibangkitkan berulang kali dalam pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, termasuk ketika perbincangan di dalam “The Beast”, kenderaan rasmi presiden berkenaan pada Ahad lepas.

Perdana Menteri menyifatkan Trump sebagai pendengar yang prihatin, justeru beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang itu untuk bertukar-tukar pandangan semasa dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara, sambil mengekalkan dialog yang penuh hormat dan membina walaupun pandangan mereka berbeza.

Anwar berkata sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau menyatakan pendirian tegas negara serta mewakili suara rakyat dalam memperjuangkan nasib Palestin.

"Saya beri pandangan (kepada Trump), tetapi hubungan diplomasi ini tidak semua kena ‘jerit’ di luar, yang penting saudara ada mewakilkan kepada saya jadi jurucakap dan saya bercakap untuk pertahankan kepentingan rakyat Palestin dan Gaza. 

"Kemudian, dalam sidang bilateral Malaysia–AS, kita ucap terima kasih, biarlah komprehensif (pelan keamanan 20 perkara bagi Gaza)," kata beliau dalam sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini. 

Beliau berkata perkara itu turut diulangi beliau semasa Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13 di hadapan semua ketua negara ASEAN. 

Anwar menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu yang mencari publisiti murahan atau cheap political stunt berhubung kehadiran Trump pada persidangan kali ini.

Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan menyerah, sebaliknya menekankan ketegasan kepimpinan Malaysia dalam isu antarabangsa. 

"Kita asyik (dengan) politik kita. Nak cari cheap political stunt … hal itu saya tidak puas hati sama sekali. Siapa kata kita menyerah? … siapa yang berani berbicara depan Presiden Donald Trump? Setiap kali jumpa Trump, (kita ucap) terima kasih atas penyelesaian awal, tetapi beri penyelesaian sepenuhnya.

“ … saya kata, tak payah sokong saya, tetapi apabila kenyataan ini kita lakukan, berilah sokongan kepada pendirian Malaysia. Malaysia bernasib baik, alhamdulillah, sebab kita Pengerusi ASEAN,” kata beliau.

Anwar berkata perbincangan secara hati ke hati antara beliau dengan Trump diadakan secara empat mata, membolehkan Malaysia menyuarakan pendirian mengenai isu Gaza secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat itu.

-- BERNAMA