Kuala Lumpur Perkukuh Integrasi Serantau Sebagai Asas Kukuh Lonjakkan Ekonomi ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
29/10/2025 12:02 AM

Oleh M. Saraswathi and Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) – Perjanjian perdagangan barangan yang dinaik taraf, perjanjian perdagangan timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS) dan komitmen baharu daripada rakan dialog seperti Australia untuk melabur jutaan ringgit di rantau ini dan aspirasi New Zealand untuk memperkukuh kerjasama ekonomi merupakan pencapaian utama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir di sini hari ini.

Pengerusi ASEAN dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu, momentum baharu turut disuntik ke dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang terdiri daripada 15 negara, mengukuhkan lagi kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia itu.

Mesej Anwar yang konsisten sepanjang sidang kemuncak tersebut bahawa perdagangan yang diperluas akan meningkatkan integrasi ekonomi serta memperkukuh daya saing dan keterangkuman rantau ini, akhirnya akan menyokong matlamat ASEAN untuk menjadi kawasan perdagangan bebas keempat terbesar di dunia.

Bagi ASEAN, yang kini mempunyai keanggotaan yang diperluas kepada 11 negara dengan penyertaan Timor Leste, sebuah negara berpendapatan rendah hingga sederhana, mesejnya amat jelas, iaitu memperbaharu integrasi, meningkatkan perdagangan dan menghapuskan halangan bukan perdagangan bagi memajukan kawasan perdagangan bebasnya.

Integrasi yang lebih baik merupakan komponen penting ke arah membina asas kukuh untuk ekonomi Asia Tenggara, yang kini terjejas oleh kenaikan kos disebabkan tarif yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada hari yang dinamakan “Liberation Day”.

Manfaat ekonomi daripada iltizam ke arah integrasi perlu sentiasa dengan keazaman politik jika ASEAN mahu menjadi perkumpulan ekonomi serantau yang berkesan.

Lebih daripada itu, inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk meningkatkan perdagangan digital adalah penting untuk memperkasakan lebih 70 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di ASEAN.

Transaksi dalam talian yang meningkat di rantau ini akan mewujudkan lonjakan perniagaan digital dan meningkatkan syarikat ini kepada perusahaan bersaiz sederhana dan besar.

Bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), perjanjian ini akan meliputi lebih banyak barangan untuk perdagangan bebas dan memperluas pasaran serantau mereka yang mempunyai asas pengguna melebihi 680 juta orang.

Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang dinaik taraf diikuti perbincangan perkumpulan itu untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan India pada tahun depan, merupakan langkah positif berikutan negara itu mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan merupakan rakan dagang ASEAN yang penting.

Perjanjian perdagangan timbal balas yang ditandatangani oleh AS dengan Malaysia, Vietnam, Thailand dan Kemboja memastikan tarif akan kekal tidak berubah tetapi meliputi komitmen yang lebih besar untuk perdagangan dan pelaburan dua hala dan membuka lebih banyak sektor untuk kerjasama ekonomi.

Malaysia turut menandatangani perjanjian perkongsian strategik komprehensif untuk menaik taraf hubungan perdagangan dan pelaburan dengan AS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan kritikan bahawa perjanjian ini akan menjejaskan kedaulatan ASEAN kerana konsesi yang terlalu banyak diberikan kepada Washington, menyatakan bahawa Malaysia berpotensi meraih keuntungan dalam eksport dan pelaburan.

Merujuk situasi di Malaysia, katanya sebanyak 1,711 produk eksport ke AS akan menikmati tarif lebih rendah daripada 19 peratus termasuk minyak sawit, getah, koko, komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa, dengan jumlah eksport secara keseluruhan sebanyak US$5.2 bilion atau 12 peratus daripada jumlah eksport.

Dalam perjanjian yang ditandatangani dengan Presiden AS Donald Trump, Malaysia akan terbuka kepada pelaburan AS atau import mineral nadir bumi penting manakala Malaysia akan terus mengeksport semikonduktor ke AS tanpa rasa bimbang mengenai tarif sektoral selagi perjanjian tersebut dipatuhi.

Trump telah berjanji untuk memberikan akses pasaran yang lebih besar kepada negara-negara tersebut.

Semasa acara ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Timbalan Perdana Menteri China He Lifeng mengadakan rundingan perdagangan di bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia, Merdeka 118, dalam usaha untuk mencapai perjanjian perdagangan.

Semua pihak berasa lega terutamanya negara-negara ASEAN yang ekonominya saling berkaitan dengan pasaran kedua-dua kuasa besar ekonomi itu apabila Washington dan Beijing mencapai satu perjanjian rangka kerja yang berjaya mengelak pelaksanaan tarif sebanyak 157 peratus terhadap barangan China dan perang perdagangan.

Dalam membawa perkara ini kepada tahap seterusnya, para pemimpin ASEAN menjangka Trump dan Presiden China, Xi Jinping akan bertemu di Gyeongju, Korea Selatan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu ini untuk meredakan ketegangan perdagangan.

Ia merupakan perkembangan yang positif apabila Trump mengadakan perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva semasa berada di Kuala Lumpur dan mereka bersetuju untuk memulakan rundingan bagi menangani isu tarif dengan segera, seterusnya menamatkan ketegangan yang meningkat antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese memperkukuh komitmen Canberra melalui perancangan pelaburan berjumlah A$20 bilion (A$1 = RM2.76) di Asia Tenggara untuk meningkatkan kerjasama dengan ASEAN.  

Afrika Selatan, yang dijemput secara peribadi ke Sidang Kemuncak ASEAN oleh Anwar, mengekalkan komitmennya untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia dalam sektor minyak sawit manakala rakan dialog ASEAN, Kanada, menyatakan hasratnya untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Komprehensif dengan ASEAN (ACAFTA) menjelang tahun depan.

Sementara itu, Malaysia dan New Zealand merancang untuk memuktamadkan semakan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) menjelang akhir tahun ini selain memperkukuh kerjasama dalam sektor halal terutamanya untuk meningkatkan eksport produk daging halal ke Malaysia selepas pertukaran perjanjian pelaksanaan halal (HIA) yang dinaik taraf dengan Putrajaya hari ini.

Satu lagi acara penting yang diadakan di sini ialah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang dianggap sebagai perkumpulan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Selain 11 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand turut memperbaharu komitmen mereka untuk mengekalkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan dalam ketidaktentuan perdagangan global.

Selepas tanggungjawab sebagai kepengerusian ASEAN diserahkan kepada Filipina, Malaysia boleh berbangga dengan kecekapan diplomasi cemerlangnya dalam terus mempromosikan ASEAN sebagai rakan kongsi yang inklusif, dipercayai dan berdaya saing serta mampu berkongsi kemakmurannya dengan negara maju dan membangun yang dapat dilihat melalui pelbagai perjanjian, rundingan, inisiatif peluasan perdagangan serta komitmen baharu terhadap keterbukaan serantau yang menjadi ciri utama sidang kemuncak tersebut.

-- BERNAMA