Kedutaan Palestin Ucap Tahniah Kepada Malaysia Atas Kejayaan Anjur Sidang Kemuncak Asean

Kredit: Kedutaan Palestin di Malaysia
28/10/2025 08:08 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kedutaan Palestin di Malaysia mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan cemerlang menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir hari ini.

Kedutaan berkenaan memaklumkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini yang penuh inspirasi telah meninggalkan kesan perubahan pada peringkat serantau, dunia Islam dan antarabangsa.

“Pendekatan Malaysia yang teguh dan berprinsip dalam isu serantau dan global, serta diplomasi yang inklusif dan berpandangan jauh, telah meningkatkan kedudukan ASEAN di pentas dunia serta memperkukuh kerjasama pelbagai hala.

“Pencapaian ini menyerlahkan kepimpinan unggul dan visi luar biasa Malaysia dalam mengemudi hal ehwal serantau dan antarabangsa dengan kebijaksanaan, inovasi dan berwawasan, sekali gus memperkukuh perpaduan ASEAN dan meningkatkan kerjasama bersama ke arah masa depan yang makmur dan sejahtera,” menurut kedutaan itu.

Kedutaan berkenaan juga memuji Malaysia kerana meletakkan perjuangan Palestin sebagai keutamaan dalam agenda ASEAN, sekali gus menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi negara ini terhadap rakyat Palestin dan usaha menubuhkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Sidang kemuncak selama tiga hari yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dihadiri lebih 3,000 delegasi termasuk pemimpin terkemuka dari lebih 30 negara dan pertubuhan antarabangsa.

-- BERNAMA