ASEAN Terima Pakai deklarasi Hak Asasi Keamanan, Pembangunan Dan Alam Sekitar
Oleh Nina Muslim
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Di bawah kepemimpinan Malaysia, ASEAN telah melaksanakan dua deklarasi bersejarah yang mengiktiraf hak keamanan, hak asasi manusia dan pembangunan mampan sebagai sebahagian Visi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama.
Dua deklarasi itu ialah “ASEAN Declaration on Promoting the Right to Development and the Right to Peace Towards Realising Inclusive and Sustainable Development” dan “ASEAN Declaration on the Right to a Safe, Clean, Healthy and Sustainable Environment”, yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt.
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Edmund Bon menyifatkan penerimaan kedua-dua deklarasi berkenaan yang diusahakan oleh Malaysia sebagai “bersejarah.”
“Dua deklarasi hak asasi manusia diterajui oleh Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Deklarasi mengenai hak kepada pembangunan itu sejajar dengan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pembangunan Mampan dengan menekankan aspek keterangkuman, kemampanan dan perlindungan hak asasi manusia sebagai teras kepada keamanan serta kemakmuran di rantau ini.
Sementara itu, deklarasi mengenai alam sekitar mengiktiraf bahawa persekitaran yang selamat, bersih dan lestari merupakan asas kepada hak asasi.
“Deklarasi ini satu pencapaian penting kerana buat kali pertama ia mengiktiraf keperluan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada kumpulan rentan, termasuk masyarakat Orang Asli, Orang Kurang Upaya, wanita, kanak-kanak serta komuniti yang terjejas akibat perubahan iklim dan isu alam sekitar.
“Apa yang menjadikan ia penting? Kita kini menggabungkan pendekatan hak asasi manusia dengan alam sekitar. Jadi ia bukan lagi soal alam sekitar semata-mata, tetapi turut menyaksikan bagaimana isu ini memberi kesan secara langsung terhadap manusia dan planet,” kata Bon.
Deklarasi itu turut memperkukuh komitmen negara anggota ASEAN untuk memperkasakan undang-undang alam sekitar, memastikan penglibatan masyarakat dalam proses membuat keputusan, serta menjamin akses yang adil dalam hal berkaitan alam sekitar, khususnya bagi golongan rentan.
Selain itu, deklarasi berkenaan turut menekankan usaha melindungi alam sekitar untuk generasi sekarang dan akan datang, sejajar dengan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN serta perjanjian antarabangsa lain yang disertai ASEAN.
Ia turut menggalakkan syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan supaya melaksanakan amalan bertanggungjawab serta menilai risiko melalui penilaian impak alam sekitar bagi mengelak dan mengurangkan kemudaratan.
-- BERNAMA
