ASEAN, Australia Bersatu Cegah Konflik Serantau
Oleh Ahmad Erwan Othman & Mohd Adli Shahar
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- ASEAN dan Australia menegaskan semula komitmen bersama untuk mencegah konflik dan memperkukuh keamanan di rantau Indo-Pasifik melalui pernyataan bersama yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5 di sini hari ini.
Dalam Pernyataan Bersama Pemimpin ASEAN-Australia mengenai Pencegahan Konflik dan Pengurusan Krisis dalam Seni Bina Serantau yang Dipimpin ASEAN, kedua-dua pihak menekankan bahawa “keamanan dan kestabilan rantau ini ialah tanggungjawab bersama, serta komitmen bersama untuk bekerjasama dalam meningkatkan keselamatan dan kemakmuran serantau”.
Kedua-dua pihak turut menegaskan aspek “saling menghormati prinsip kedaulatan, integriti wilayah, kesamaan, tidak campur tangan dan kebebasan politik semua negara” seperti yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN, dan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Mengakui risiko yang semakin meningkat, para pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kesan serius termasuk mengenai kesihatan dan keselamatan orang awam serta petugas kemanusiaan, infrastruktur awam, kemakmuran ekonomi dan keselamatan tenaga serta makanan.
Mereka juga mengambil maklum kebimbangan yang menyebabkan peralihan geostrategik yang meningkatkan risiko konflik, sambil mengulangi gesaan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini, menekankan peranan ASEAN dalam membentuk dan menerajui evolusi seni bina serantau.
Mengukuhkan semula peranan kepimpinan ASEAN, pernyataan itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk menyokong seni bina yang berpusatkan ASEAN, terbuka, inklusif, telus, berdaya tahan dan berasaskan peraturan serantau yang menegakkan undang-undang antarabangsa, berteraskan mekanisme yang diterajui ASEAN termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Forum Serantau ASEAN (ARF), dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus).
Para pemimpin juga mengakui bahawa menangani ketegangan yang memuncak memerlukan pendekatan proaktif oleh semua negara untuk mengekalkan keamanan dan mencegah konflik, khususnya antara kuasa besar, dengan memupuk keyakinan bersama dan membuka saluran komunikasi pada semua peringkat.
Dalam pada itu, pemimpin mengesahkan semula kepentingan menyokong usaha yang dipimpin ASEAN dalam mengekalkan dan menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan maritim, kebebasan pelayaran dan penerbangan, serta perdagangan maritim yang sah tanpa halangan serta penggunaan peraturan laut lain yang sah yang digunakan di rantau ini.
Pernyataan itu mengetengahkan tumpuan berterusan terhadap isu Laut China Selatan dengan terus mengikuti rapat perkembangan dan mengambil maklum Pernyataan Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai Pengekalan dan Menggalakkan Kestabilan dalam Ruang Maritim di Asia Tenggara.
Pemimpin turut berikrar untuk melaksanakan 13 komitmen utama bagi memperkukuh mekanisme keamanan serantau dan usaha pencegahan konflik.
-- BERNAMA
