Kepengerusian ASEAN : Kita Berjaya Lakukannya Malaysia - Fahmi

29/10/2025 04:26 PM

SEPANG, 29 Okt (Bernama) -- “We did it Malaysia, Malaysians, we did it.” (Kita berjaya lakukannya Malaysia, rakyat Malaysia, kita berjaya).

Demikian luahan penuh syukur dan bangga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil setelah mendengar sendiri penghargaan antaranya daripada delegasi Timor-Leste terhadap kecekapan serta layanan Malaysia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur yang berakhir semalam. 

Fahmi berkata beberapa pegawai kanan Timor-Leste yang ditemuinya menyatakan kekaguman terhadap profesionalisme dan kesantunan petugas Malaysia termasuk pegawai perhubungan (LO) daripada Kementerian Kesihatan yang mengiringi pegawai kanan negara itu.

Katanya mereka memaklumkan bahawa LO Malaysia sangat tertib, fasih dan memahami bagaimana memastikan tetamu berasa selesa serta mengetahui isu-isu semasa. 

"Ini membuktikan kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah bukan hanya hasil kerja kementerian tertentu, tetapi seluruh jentera kerajaan,” katanya kepada Bernama di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Terdahulu, Fahmi mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao dan delegasinya yang berlepas pulang ke Dili pada 12.30 tengah hari tadi. 

Beliau turut menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai detik bersejarah apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 blok serantau itu, sekali gus menandakan kejayaan besar di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia.

“Saya amat menghargai peluang menjadi menteri yang menyambut dan menghantar mereka. Mereka merupakan delegasi pertama tiba di Malaysia dan yang terakhir berlepas, dan saya amat berterima kasih atas kepercayaan itu,” katanya.

Fahmi berkata beliau amat terharu dan berbangga apabila dapat menyaksikan hasil kerjasama erat antara semua agensi kerajaan yang memastikan penganjuran sidang kemuncak berjalan lancar.

“Kita telah berbincang banyak perkara bersama rakan sejawat dari Timor-Leste. Dengan termeterainya MoU (memorandum persefahaman) dalam bidang media dan telekomunikasi, kini tiba masa untuk kita bertindak pantas bagi memastikan semangat penyertaan Timor-Leste ini dapat direalisasikan,” katanya.

Timor-Leste berhasrat memperluas kerjasama media selain inisiatif latihan profesional bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menerusi agensi berita rasminya, Agencia Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI).

Selain itu, Fahmi turut menyifatkan Gusmao sebagai antara pemimpin paling menonjol yang pernah ditemuinya susulan keperibadian yang merendah diri dan mesra dengan wartawan serta orang sekeliling.

“Antara semua pemimpin, saya lihat Perdana Menteri Timor-Leste memiliki karakter yang sangat menonjol, cara menyantuni wartawan dan orang ramai jelas menunjukkan mengapa beliau begitu disayangi di negaranya. Kita doakan yang terbaik buat rakan-rakan baharu kita dari Timor-Leste, Malaysia sentiasa bersama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Timor-Leste turut menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dalam tempoh empat tahun akan datang, namun masih memerlukan masa bagi menyiapkan prasarana dan kemudahan media.

“Saya maklumkan kepada mereka bahawa sidang kemuncak kali ini mendapat liputan kira-kira 2,900 wartawan. Mereka agak terkejut dengan angka itu, namun bersemangat untuk merancang lebih awal. Saya percaya Malaysia akan membantu mereka bukan sahaja dari segi profesionalisme media, tetapi juga dalam aspek urusetia dan logistik,” katanya.

-- BERNAMA