BRICS: Sokongan Brazil Terhadap Malaysia Titik Perubahan Penglibatan Ekonomi Global Negara

29/10/2025 08:35 PM

Oleh Syarifah Hunaini Syed Ismail

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – Sokongan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva terhadap usaha Malaysia untuk menyertai perkumpulan BRICS sebagai anggota penuh menandakan satu pencapaian penting diplomatik dan titik perubahan dalam penglibatan ekonomi global negara.

Sebelum Brazil, China dan Afrika Selatan turut menyatakan sokongan padu untuk Malaysia menyertai perkumpulan itu sebagai anggota penuh daripada kapasiti sebagai negara rakan ketika ini apabila anggota pengasas BRICS itu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

Brazil dan Afrika Selatan dijemput secara peribadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan tuan rumah ASEAN 2025 untuk menghadiri sidang kemuncak tahunan ASEAN itu.

BRICS merupakan sebuah organisasi antara kerajaan yang dianggotai sepuluh negara iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berucap semasa lawatan sulung beliau ke Malaysia untuk menghadiri sidang kemuncak itu, Lula berkata Brazil berdiri teguh menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok yang semakin berpengaruh itu, yang kini merangkumi ekonomi utama terdiri dari negara-negara Selatan global.

Bagi Malaysia, yang kini hanya merupakan negara rakan BRICS, sokongan sedemikian merupakan satu pengiktirafan dan juga menghadirkan peluang.

Penasihat kanan hal ehwal ekonomi KSI Research and Advisory Services, Dr Anthony Dass berkata penglibatan yang lebih mendalam dengan BRICS boleh membuka pelbagai manfaat ekonomi.

 “Dengan menyertai BRICS, Malaysia boleh memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat daripada ekonomi BRICS dan menarik aliran pelaburan yang berpotensi dari negara anggota,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata menerusi keanggotan penuh Malaysia berpotensi mendapat akses lebih meluas ke pasaran utama dan meningkatkan pelaburan dalam sektor seperti pembuatan dan infrastruktur. 

Kenyataan Lula itu sejajar dengan matlamat lebih meluas BRICS untuk memupuk kerjasama ekonomi dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun dan mempelbagaikan perdagangan global melangkaui sistem yang didominasi Barat.

Selain Lula, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk turut menyuarakan sokongan, dengan menyatakan Malaysia memenuhi kriteria untuk menjadi anggota penuh BRICS.

Overchuck berkata negara anggota BRICS telah membincangkan hasrat Malaysia untuk menyertai kumpulan itu dan percaya bahawa dasar dan pendirian negara adalah sejajar dengan nilai teras dan objektifnya.

Bagi Malaysia, keanggotaan penuh juga bermakna pengaruh yang lebih besar dalam membentuk naratif ekonomi global, mengukuhkan kerjasama Selatan-Selatan dan saluran baharu untuk teknologi dan pertukaran modal.

Berada di kedudukan geografi yang strategik dalam laluan maritim Asia Tenggara, memiliki pangkalan pembuatan dan eksport yang kukuh, serta hubungan dengan ASEAN, menjadikan Malaysia sebagai rakan bermanfat bagi anggota BRICS yang mencari hubungan perdagangan dan pelaburan di Asia.

“Sektor eksport Malaysia terutamanya komponen elektronik, minyak sawit, getah dan komoditi lain boleh membekalkan ke pasaran BRICS dan begitu juga sebaliknya.

“Prospek untuk mempelbagaikan pasaran juga ada,” kata Dass.

Selain itu, dengan menyertai perkumpulan tersebut Malaysia dapat mengurangkan pergantungan kepada beberapa pembeli tradisional dan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat daripada ekonomi BRICS.

Dass, yang juga pengarah penyelidikan majlis penasihat Kuala Lumpur Economic Club berkata semakin ramai anggota BRICS yang menjalankan perdagangan intra-BRICS, menggunakan lebih banyak mata wang mereka sendiri dan tidak hanya bergantung pada dolar AS, menjadikan blok itu lebih bebas.

Bagaimanapun, mereka masih tidak dapat mengelak sepenuhnya daripada sistem Amerika Syarikat (AS).

Sebagai contoh, beliau berkata pada  2022, perdagangan intra-BRICS dilaporkan melebihi US$600 bilion, namun begitu, tiada perjanjian perdagangan atau pelaburan BRICS yang lengkap dan formal atau sistem kastam dan pelaburan bersama yang boleh menolak sepenuhnya hubungan dengan sistem kewangan AS atau barat.

"Terdapat perbincangan tentang sistem pembayaran alternatif, tetapi pelaksanaannya masih lemah dan AS (dan sistem sekutunya) masih memainkan peranan besar dalam kewangan global, pembayaran, penyelesaian perdagangan, mata wang rizab.

"Jadi, walaupun BRICS dapat mengurangkan kebergantungan dari semasa ke semasa, mereka tidak boleh serta-merta mengubah sistem yang bebas sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata pada dasarnya BRICS boleh dan sedang mengorak langkah untuk lebih banyak berdagang dan melabur dalam blok mereka sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada AS dan sistem yang dikuasai AS, namun mereka masih jauh untuk mencapai tahap bebas sepenuhnya.

Mengenai sama ada BRICS membantu memperdalam integrasi antara ekonomi yang terjejas akibat tarif atau tekanan perdagangan oleh AS, beliau berkata ia boleh dilakukan untuk sesetengah negara, dan untuk beberapa jenis perdagangan dan pelaburan.

BRICS juga, katanya, menyediakan saluran tambahan yang boleh mengurangkan risiko tarif dan tekanan AS.

"Namun begitu, ia bukan saluran yang boleh segera menyelesaikan masalah yang serius," katanya.

Kini, pintu BRICS terbuka luas untuk Malaysia, bagaimanapun katanya, Malaysia perlu membuat pertimbangan dan perancangan dengan teliti.  

Meskipun keanggotaan BRICS dapat menguatkan suara globalnya, negara juga memerlukan keseimbangan strategik kepentingan ekonomi dan diplomatik antara Timur dan Barat.

Sokongan Brazil mungkin merupakan dorongan yang diperlukan oleh Malaysia tetapi ujian sebenar terletak pada sejauh mana negara dapat memanfaatkan sokongan ini untuk memajukan objektif ekonomi dan geopolitik jangka panjangnya.

-- BERNAMA