80 Dokumen Hasil Dilulus Sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Sebanyak 80 dokumen hasil telah diterima dan diluluskan sepanjang 14 Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata ini termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, New Zealand dan Australia.
Dokumen hasil itu juga daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Asia Timur (EAS), Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dan Pemimpin Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“Antara kejayaan yang dibanggakan ialah tatkala Timor Leste telah diterima masuk secara rasmi ke dalam ASEAN setelah memohon keanggotaan sejak 2011. Penerimaan ini menggariskan prinsip keterangkuman ASEAN dan visi perkongsian kemakmuran serantau yang selama ini diperjuangkan oleh Malaysia,” katanya.
Tunku Nashrul berkata satu lagi kejayaan penting ialah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Beliau berkata perkara itu merupakan manifestasi kesungguhan dan peranan aktif Malaysia dalam memudah cara pertikaian serantau secara aman dan konstruktif.
“Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada Amerika Syarikat atas peranannya dalam memudahkan dialog dan persetujuan ini,” katanya.
Dari sudut ekonomi pula, Tunku Nashrul berkata sidang kemuncak kali ini telah memuktamadkan dua inisiatif perdagangan iaitu penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, yang akan menawarkan akses pasaran lebih luas, prosedur lebih cekap dan membuka jalan untuk peluang ekonomi baharu dalam bidang digital dan hijau.
Beliau berkata dalam meletakkan ASEAN sebagai rantau yang berpaksikan hukum, pemimpin ASEAN juga telah mengesahkan semula Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rujukan utama dan menggesa pelaksanaannya secara penuh, terutama bagi pemberhentian keganasan dan peningkatan bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Tunku Nashrul berkata pemimpin juga bertukar pandangan mengenai isu Laut Cina Selatan serta Palestin, dengan Malaysia terus menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi untuk keamanan, selain ancaman jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian, keselamatan makanan dan peralihan tenaga.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia memberikan sokongan padu kepada Filipina yang bakal
mengambil alih tampuk Kepengerusian ASEAN pada 2026 dan berharap semangat perpaduan serta kerjasama yang dibina di Kuala Lumpur akan terus mekar dan subur.
-- BERNAMA
