PM Anwar Hargai Petugas Dan Rakyat Malaysia Jayakan Kepengerusian ASEAN 2025

29/10/2025 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang melabuh tirai semalam, merupakan hasil kerja keras semua petugas, agensi kerajaan, dan sokongan padu seluruh rakyat Malaysia.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Perdana Menteri, merakamkan penghargaan kepada semua petugas dan rakyat Malaysia, serta menyifatkan kejayaan itu tidak akan berhasil tanpa jasa, bakti dan keringat kesemua terlibat yang menjalankan amanah sebaiknya.

“Agensi-agensi kerajaan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, sukarelawan dan petugas media, ribuan terima kasih diucapkan atas komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kelancaran penganjuran sidang kemuncak ini.

“Perdana Menteri juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas dukungan dan kesabaran yang diberikan sepanjang proses diplomasi itu berlangsung.

“Bagi pihak Perdana Menteri, kami menyusun sepuluh jari memohon maaf seandainya terdapat kekhilafan dan kekurangan sepanjang Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya.

Tunku Nashrul berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan perhimpunan pemimpin terbesar dan berprofil tinggi ASEAN setakat ini, dengan kehadiran kesemua pemimpin ASEAN, sembilan Rakan Dialog, dan empat Tetamu Pengerusi.

Beliau berkata sidang kemuncak kali ini, telah mengukir sejarah tersendiri dan membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Semalam Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.

Sementara itu Anwar menerusi hantaran di Facebooknya menyifatkan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan cerminan wajah rakyat di negara ini, yang berjaya menampilkan kehebatan Malaysian Hospitality di hadapan delegasi serta pemimpin dunia.

“Inilah roh Malaysia MADANI, rakyatnya bersatu hati, bekerja dengan ikhlas, menjunjung amanah dan meletakkan maruah negara di tempat tertinggi,” kata beliau pada hantaran tersebut.

Anwar juga berharap agar rakyat terus berbakti dengan rendah hati dan keikhlasan yang sama, kerana Malaysia adalah milik bersama dan masa depannya bergantung pada keutuhan nilai, kesungguhan tekad serta kekuatan azam setiap rakyat negara ini.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN, rakan-rakan dialog dan tetamu pengerusi, atas kehadiran serta komitmen mereka dalam memperkukuh semangat kebersamaan serantau.

“Hubungan yang terjalin di Kuala Lumpur ini bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi lambang harapan bahawa rantau ini mampu berdiri teguh di atas landasan keamanan, keadilan dan kesejahteraan bersama,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA