Pemergian Mohd Yazid Kehilangan Besar Buat Dunia Seni Tanah Air - PM Anwar

29/10/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pemergian Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya Mohd Yazid Zakaria yang meninggal dunia hari ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Allahyarham bukan hanya seorang konduktor berbakat tetapi merupakan insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Yazid.

“Menerima khabar duka, pemergian Mohd Yazid Konduktor Orkestra Tradisional, insan yang bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini," katanya dalam catatan itu. 

Anwar turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan serta khidmat bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara.

“Dedikasinya akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang.

“Saya turut dimaklumkan bahawa anakanda Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini. Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

-- BERNAMA