PM Timor-Leste Terakhir Berlepas Pulang

29/10/2025 02:51 PM

SEPANG, 29 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão bertolak pulang hari ini usai lawatan lima hari ke Malaysia, membawa bersamanya pencapaian bersejarah kemasukan rasmi ke dalam ASEAN sebagai ‘cenderahati’ buat rakyat negara itu.

Pesawat yang membawa Gusmão berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.30 tengah hari.

Terdahulu, bekas pejuang kemerdekaan Timor-Leste itu diiring pulang dengan hamparan permaidani merah dan Kawalan Kehormatan terdiri daripada Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja di Kompleks Bunga Raya.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin itu dan delegasinya. 

Gusmão, yang popular dalam kalangan media kerana sikapnya yang ramah dan bersahaja, tiba di Malaysia pada 24 Okt lepas justeru menjadi ketua negara terawal tiba bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-24 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan menjadi yang terakhir pulang.

Pada Ahad, Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ASEAN ke-11 selepas pemeteraian deklarasi kemasukan sekali gus menandakan pencapaian negara muda itu dalam aspirasinya menyertai blok serantau berkenaan sejak memohon pada 2011, iaitu sedekad selepas kemerdekaannya pada 2002. 

Semalam, Malaysia menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina selepas kejayaan melaksanakan peranan sebagai pengerusi badan serantau itu sepanjang tahun ini dan kejayaan menganjurkan sidang kemuncak pada 26 hingga 28 Okt lepas dengan penglibatan pemimpin Asia Tenggara dan rakan dialog global termasuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

-- BERNAMA