Penyertaan Timor-Leste, Perkukuh Kuasa Dan Pengaruh ASEAN Di Peringkat Global

31/10/2025 01:27 PM

Oleh Nordiana Barka dan Mohd Haidar Ali

KUALA LUMPUR, 31 Okt -- Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara ke-11 ASEAN disifatkan sebagai detik bersejarah yang memperkukuh kedudukan dan pengaruh blok serantau itu di pentas antarabangsa, sekali gus menandakan era baharu dalam landskap geopolitik Asia Tenggara.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata kemasukan Timor-Leste bukan sekadar menambah bilangan negara anggota, tetapi juga memperluas kuasa dan pengaruh strategik ASEAN.

“Timor-Leste terletak dalam lingkaran Asia dan Pasifik yang penting untuk memastikan ia menjadi satu penimbal kepada peluasan jajaran wilayah ASEAN, sekali gus mengukuhkan elemen geostrategik keselamatan serantau meliputi kawasan yang sensitif khususnya Indo-Pasifik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Noor Nirwandy berkata negara itu mempunyai pelbagai sumber ekonomi hijau, pelancongan dan kawasan strategik yang turut membawa nafas baharu kepada kepelbagaian ekonomi dan geopolitik ASEAN.

"Ia bakal memperkukuh perdagangan serantau dan membuka peluang dalam teknologi dan inovasi untuk membawa satu bentuk kemakmuran baharu dalam cerminan arkitek ASEAN yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata kemasukan Timor-Leste adalah bukti bahawa ASEAN akan terus berkembang sebagai rantau yang inklusif, stabil dan berpengaruh di peringkat global.

“ASEAN perlu bergerak secara blok dan masyarakat harus bersama-sama membina identiti, selain mengelakkan perbalahan bagi memastikan ASEAN kekal sebagai rantau selamat.

“Banyak perkara-perkara seperti nadir bumi dan mineral berharga lain yang belum diterokai oleh ASEAN dan ini menjadikan ASEAN satu daripada lambang ataupun tempat strategik untuk membentuk satu permuafakatan ekonomi,” katanya.

Senada dengan pandangan itu, Pakar Hal Ehwal dan Undang-Undang Antarabangsa Prof Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli yang menyifatkan penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN langkah penting menandakan pengembangan keanggotaan pertama selepas lebih dua dekad.

"Ini mencerminkan kejayaan diplomasi serantau dan komitmen ASEAN terhadap prinsip perpaduan serta keterangkuman dalam kalangan semua negara Asia Tenggara," katanya.

Selain itu, beliau berkata kemasukan Timor-Leste menunjukkan keupayaan ASEAN untuk terus relevan dan terbuka kepada negara baharu walaupun berdepan cabaran global. 

"Peristiwa ini juga melambangkan solidariti serantau dalam membantu negara muda membangun secara bersama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran Asia Tenggara secara menyeluruh. Sebelum ini, terdapat dakwaan ASEAN gagal kerana perang di Myanmar, krisis di Marawi dan sebagainya," katanya.

Mohd Yazid berkata walaupun Timor-Leste masih membangun dan menghadapi kekangan pentadbiran, ASEAN tetap memberi peluang dengan menyediakan proses penilaian, sokongan teknikal dan fasa peralihan bagi memastikan penyertaan berjaya.

"Pendekatan ini melambangkan semangat “Satu Komuniti, Satu ASEAN,” yang menekankan kerjasama dan solidariti antara negara anggota.

“Ia juga memperlihatkan komitmen ASEAN untuk tidak meninggalkan mana-mana negara di rantau ini, sebaliknya membantu mereka berkembang bersama ke arah kestabilan, kemakmuran dan perpaduan serantau yang lebih kukuh," katanya.

Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Malaysia secara rasmi telah menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina sebagai simbolik menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi 2025.

-- BERNAMA