TikTok Shop Perkasa Masa Depan Digital ASEAN Dengan Potensi Penuh PMKS
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- TikTok Shop menegaskan komitmennya untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Asia Tenggara dengan bekerjasama rapat bersama kerajaan, kementerian dan agensi ASEAN bagi mempercepat perjalanan transformasi digital mereka.
Menurut kenyataan TikTok, memandangkan PMKS merupakan tulang belakang ekonomi ASEAN dengan sumbangan besar terhadap peluang pekerjaan, inovasi dan pertumbuhan, platform itu akan terus berinovasi untuk membantu perusahaan mencapai potensi penuh melalui perdagangan digital dan peningkatan keterlihatan dalam talian.
“Semasa Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Kuala Lumpur, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, seramai 11 usahawan PMKS tampil berkongsi kisah transformasi mereka dan mengadakan sesi jualan langsung kepada penonton ASEAN, sekali gus menampilkan keupayaan perdagangan digital secara masa nyata.
“Ia termasuk lima usahawan daripada program ASEAN Supporting Our Artisans and Retailers (SOAR) Together serta enam penjual TikTok Shop, yang masing-masing menunjukkan bagaimana kreativiti, inovasi dan alat digital mengubah landskap perniagaan kecil di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi menangani cabaran seperti akses digital yang terhad, keterlihatan rendah dalam talian dan kekurangan strategi berskala, TikTok Shop bersama Yayasan ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia melancarkan program ASEAN SOAR Together.
Inisiatif berkenaan telah memperkasakan 50 PMKS yang mewakili lebih 150 usahawan di seluruh ASEAN, sekali gus memperkukuh keupayaan serta daya saing digital mereka dalam pasaran berasaskan teknologi masa kini, khususnya dalam mengembangkan kehadiran mereka di TikTok Shop.
“Program ini bukan sahaja membekalkan peserta dengan alat penting untuk pertumbuhan, malah menyuntik keyakinan untuk memperluas capaian dan pengaruh mereka di peringkat serantau,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan mencapai kemuncaknya di ABIS 2025 apabila lima perusahaan berprestasi tinggi — MAGWAI (Filipina), LALAPIS (Thailand), Meatless Kingdom (Indonesia), Redlands Coffee (Vietnam) dan Camb-Aha (Kemboja), menampilkan kreativiti, ketahanan serta inovasi mereka.
Antara delegasi yang melawat reruai TikTok Shop untuk menyaksikan demonstrasi jualan langsung oleh PMKS termasuk Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional Indonesia Mari Elka Pangestu dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Filipina George Barcelon, yang menyatakan penghargaan terhadap usaha TikTok Shop dalam memperkasa perniagaan kecil.
Sementara itu, Pengarah Dasar Awam TikTok bagi Asia Tenggara Chanida Klyphun berkata TikTok Shop kekal komited menyokong transformasi digital dan peningkatan kemahiran PMKS, dengan program ASEAN SOAR Together menjadi bukti nyata keberkesanannya.
Beliau menjelaskan bahawa melalui gabungan latihan, aplikasi praktikal dan peluang pendedahan terpilih di seluruh ASEAN, TikTok Shop memperkasakan usahawan dengan alat dan peluang untuk terus berkembang secara digital, sambil memanfaatkan keunikan ekosistem “discovery-to-purchase” platform berkenaan.
“Kami berbangga dengan kejayaan awal apabila peserta program mencatat peningkatan ketara dalam jualan dan kadar penukaran selepas mengaplikasikan ilmu yang diperoleh serta aktif dalam jualan langsung,” katanya.
Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN Dr Piti Srisangnam berkata penglibatan mereka dalam ABIS 2025 yang berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menyediakan platform berkesan untuk menunjukkan kejayaan nyata usaha pembangunan kapasiti PMKS.
“Melihat PMKS, tulang belakang ekonomi ASEAN, mempamerkan pertumbuhan dan daya tahan digital mereka di pentas antarabangsa adalah satu detik yang membanggakan. Kejayaan ini membuktikan keberkesanan program ASEAN SOAR Together serta komitmen berterusan rakan kongsi kami, TikTok Shop, dalam melengkapkan usahawan dengan kemahiran e-dagang penting,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak berkata program berkenaan menjadi contoh kerjasama berkesan dalam memajukan ekonomi digital ASEAN.
Beliau menambah bahawa melalui kerjasama antara TikTok Shop, Yayasan ASEAN dan ASEAN-BAC, mereka menyaksikan PMKS memperkukuh keupayaan digital serta daya saing di seluruh rantau ini.
“Hasil yang dipamerkan semasa ABIS 2025 menyerlahkan bagaimana inisiatif bersasar mampu memacu pertumbuhan inklusif serta memperkasa usahawan, khususnya wanita dan belia, untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA
