Putrajaya FOI: Pendidikan Tinggi Pemangkin Kemajuan Sosial Dan Ekonomi – Ahli Panel
PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Pendidikan tinggi kini bukan lagi sekadar melahirkan siswazah, sebaliknya menjadi pemangkin kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi.
Perkara itu ditekakankan pada Forum Menteri Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 bertajuk “From Knowledge to Impact: Strengthening Higher Education Partnership”, yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri sesi berkenaan dan menyampaikan ucaptama pada hari kedua Putrajaya FOI 2025.
Panel forum itu menampilkan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina (CHED) Dr Shirley Agrupis, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia Prof Brian Yuliarto, serta Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
Semasa sesi tersebut, Shirley berkata universiti perlu melangkaui fungsi pengajaran dan penyelidikan dengan mengaplikasikan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Pendidikan tidak seharusnya terhenti selepas berjaya melahirkan graduan. Namun ia mesti terus mencipta penyelesaian yang meningkatkan kualiti hidup dan memperkasa komuniti,” katanya.
Beliau menambah bahawa inovasi dan kelestarian merupakan elemen penting bagi memastikan universiti kekal relevan dan mampu melahirkan generasi yang bersedia menghadapi masa depan.
Shirley turut menyeru kerjasama lebih kukuh dalam kalangan negara ASEAN dalam bidang pendidikan, sambil menegaskan bahawa negara di rantau ini mempunyai matlamat yang sama dan boleh mencapai lebih banyak kejayaan melalui program bersama serta pengiktirafan silang kelayakan akademik.
“Kita boleh capai lebih banyak jika bergerak bersama. Kolaborasi dalam ASEAN akan mengukuhkan kapasiti kolektif kita dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Brian berkata pendidikan adalah tanpa sempadan dan perlu dilihat sebagai jambatan kerjasama antara negara ASEAN.
“Para penyelidik sudah pun bekerjasama merentasi sempadan. Sains tidak berpolitik — ia menyatukan kita,” katanya.
Beliau mencadangkan agar Malaysia memperluas penganjuran Putrajaya FOI ke peringkat ASEAN, melibatkan pelajar, penyelidik dan inovator bagi berkongsi idea serta hasil penyelidikan.
“Putrajaya FOI di peringkat ASEAN akan memberi ruang kepada golongan muda berkongsi idea dan inovasi yang mampu membentuk masa depan rantau ini,” katanya.
Noor Azlan pula menekankan kepentingan menghubungkan universiti dengan industri, sambil menyatakan bahawa industri perlu mencabar universiti bagi memastikan graduan bersedia menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Beliau berkata industri sering mengeluh tentang tahap kesediaan graduan, manakala universiti pula menyatakan kekurangan peluang pekerjaan.
“Kedua-dua pihak perlu duduk bersama untuk menyelaraskan latihan dengan keperluan pasaran,” katanya.
Bertemakan ‘MADANI: Shaping the Future, Realising Ideas’, Putrajaya FOI 2025 merupakan inisiatif melibatkan keseluruhan kerajaan yang menghimpunkan pelbagai kementerian, agensi dan industri bagi merancakkan wacana intelektual serta mencetus inovasi untuk manfaat umum.
-- BERNAMA
