Ketua ASEAN Akan Hadiri Forum Media Ke-9 Di Kuala Lumpur

Dr Kao Kim Hourn
05/11/2025 07:07 PM

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn akan menghadiri Forum Media ASEAN Kesembilan di Kuala Lumpur pada Khamis, menurut Sekretariat ASEAN.

Semasa forum itu, Kao dijadual mengadakan sesi libat urus bersama wakil media bagi membincangkan secara terbuka pencapaian utama ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi tahun 2025.

“Beliau juga akan berkongsi pandangannya mengenai keutamaan rantau ini pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Forum berkenaan dianjurkan oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dan berperanan sebagai platform dialog terbuka antara ASEAN dan media di seluruh rantau ini.

Forum itu dilancarkan pada 4 Ogos 2017 di Manila sempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN, dengan matlamat untuk memupuk persefahaman bersama serta memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan Komuniti ASEAN.

-- BERNAMA