Malaysia Teraju Pendirian Bersatu ASEAN Terhadap Perubahan iklim Menjelang COP30 Di Brazil

Datuk Seri Huang Tiong Sii
09/11/2025 06:08 PM

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Malaysia telah mengukuhkan kedudukan ASEAN pada peringkat antarabangsa dengan menerajui usaha mewujudkan pendirian bersama dalam menangani isu perubahan iklim menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) di Belem, Brazil.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) di Langkawi pada September lepas yang mencapai kesepakatan mengenai Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim untuk COP30.

Beliau berkata kenyataan itu telah disahkan oleh Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN dan bakal dibentangkan di COP30 selepas mendapat kelulusan rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lepas.

“Kenyataan bersama itu bukan sahaja peluang penting ASEAN untuk mempengaruhi tindakan global terhadap perubahan iklim secara kolektif, tetapi juga memperincikan pendirian bersama ASEAN mengenai isu utama termasuk kewangan iklim, penyesuaian, kerugian dan kerosakan, pemindahan teknologi serta pelaksanaan Perjanjian Paris,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Huang berkata semasa AMME-18, Malaysia turut menjadi pemudah cara sesi dialog antara Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN dan Presiden COP30 Andre Correa do Lago.

Beliau berkata sesi libat urus itu berjaya menyelaraskan keutamaan ASEAN dengan visi Brazil bagi “Amazon COP”, sekali gus merintis laluan kepada kerjasama awal menjelang COP30 di Belem.

“Hasilnya, kita melihat ASEAN kini tampil sebagai suara yang membawa penyatuan dan pengaruh dalam rundingan iklim global,” katanya.

Bagi mengukuhkan lagi momentum itu, Huang berkata Malaysia akan memperlihatkan tindakan pada peringkat nasional dan serantau melalui Pavilion Malaysia di COP30 yang berperanan sebagai platform ASEAN bagi diplomasi kelestarian.

“Melalui platform itu, Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh suara kolektif negara-negara Asia Tenggara berteraskan prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza (CBDR),” katanya.

Beliau berkata Pavilion itu turut menampilkan inisiatif serantau yang memperkukuh komitmen Malaysia terhadap transformasi domestik dan kepimpinan serantau, bagi memastikan suara, kerentanan dan inovasi negara-negara Asia Tenggara diwakili dan mendapat sokongan lebih berkesan pada peringkat global.

Huang berkata Malaysia mengulangi pendekatan menyeluruh negara dalam menangani perubahan iklim pada semua peringkat masyarakat meliputi sektor industri, tenaga, komuniti dan kerajaan.

Pendekatan ini diteruskan susulan pelancaran tema Pavilion Malaysia, iaitu Climate Action Now: Net Zero Pathways Unlocked pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025.

“Matlamat utama kami adalah untuk memacu perubahan dan transformatif yang akan membolehkan Malaysia mencapai neutral karbon serta menjamin masa hadapan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Tema pavilion itu akan diketengahkan semasa COP30 2025 yang bermula esok hingga 21 Nov.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, Malaysia mentakrifkan anjakan untuk kelestarian yang berpaksikan rangka kerja utama seperti Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (NCCP 2.0), Pelan Tindakan Hala Tuju dan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), strategi jangka panjang pembangunan rendah karbon (LT-LEDS) serta Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Huang berkata langkah-langkah berkenaan bertujuan mengimbangi tiga cabaran tenaga, iaitu keselamatan, kemampuan dan kelestarian, sambil mengemudi peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.

“Selain usaha pada peringkat tempatan, kita juga memperkukuh usaha serantau seperti Grid Kuasa ASEAN yang menjadi infrastruktur fizikal untuk merealisasikan aspirasi ini dengan memudahkan perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan.

“Rangka kerja dan dasar ini dibangunkan bagi membantu menterjemahkan sasaran negara kepada pelan tindakan yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Kejayaan mewujudkan asas kukuh itu menyaksikan negara kini bersedia sepenuhnya untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.

-- BERNAMA